Berita

Labuan buat persiapan jadi pulau pintar

KHALID (tengah) menyampaikan peruntukan sukan kepada wakil 19 persatuan sukan aktif di Labuan pada program Kenduri Rakyat di Dataran Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan.
- Diterbit 8 Februari 2020 6:11 AM MYT

LABUAN – Wilayah Persekutuan Labuan kini dalam persiapan untuk menjadi sebuah pulau pintar lestari atau ‘smart sustainable island’ sejajar dengan Pelan Induk Perbadanan Labuan 2030.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, Rancangan Kawasan Khas Pelancongan Labuan yang disediakan PLANMalaysia juga telah mengenal pasti pulau ini sebagai destinasi pelancongan pintar.

Justeru beliau berkata, kemudahan infrastruktur digital Labuan akan dipertingkatkan selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) selain dilengkapi teknologi generasi kelima (5G).

“Pelaksanaan 5G akan mempercepatkan pembangunan Labuan sebagai pulau pintar serta memberikan impak positif kepada ekonomi pulau ini bagi tempoh jangka masa panjang.

“Pelan transformasi itu juga akan menjadikan pulau ini sebagai pusat ekonomi serantau bersepadu yang berdaya saing untuk memberikan perkhidmatan perniagaan, pelaburan dan pengantaraan yang lebih baik di rantau ini termasuk pasaran Malaysia Timur dan Asia,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan 2020 di pekarangan Arena Boling Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Kata Khalid, kementerian dan Perbadanan Labuan turut memperbanyakkan pelaksanaan program di bawah Inisiatif Wilayah Peduli bagi peningkatan kesejahteraan dan pembangunan sosio ekonomi penduduk Labuan seperti yang baru sahaja dijalankan baru-baru ini iaitu Ziarah Kasih.

“Seramai enam orang pesakit yang terlantar mendapat manfaat dari program Ziarah Kasih tempoh hari di mana mereka telah menerima sumbangan RM300 dalam bentuk wang tunai, RM100 untuk barangan asas dan juga sewaan katil hospital.

“Pemberian subsidi feri sebanyak 50 peratus juga diteruskan pada tahun ini untuk meringankan beban warga pulau ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain kata beliau, usaha meningkatkan kemasukan pelancong turut berjalan serentak

“Perbadanan Labuan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan telah menyenaraikan lebih 100 aktiviti bermula dari Januari sehingga Disember 2020 untuk meningkatkan bilangan pelancong dalam dan luar negara,” jelas beliau.

Kata beliau, kementerian serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) juga telah merancang pelbagai program yang mengutamakan gaya hidup sihat bagi menarik penglibatan komuniti setempat.

Untuk itu, pada majlis tersebut, Khalid menyampaikan peruntukan sebanyak RM69,000 kepada 19 persatuan sukan yang aktif di Labuan bagi memastikan tadbir urus organisasi itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisien sekali gus membantu melahirkan lebih banyak atlet berpotensi dari Labuan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh menyempurnakan penyampaian Plak A bagi Kebersihan Premis Makanan WP Labuan 2019, hadiah Pertandingan Tandas Bersih dan Ceria Agensi Swasta, Masjid dan Surau 2019, hadiah pertandingan khemah memasak serta bantuan persekolahan program tanggungjawab sosial korporat PEKEMA Sabah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas