KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) menyasarkan peningkatan jumlah kiriman wang ke luar negara sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus selepas melancarkan perkhidmatan SWIFT Global Payment Innovation (GPI) baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, melalui khidmat pindahan bayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan telus itu, ia bakal melengkapkan sasaran pendapatan berasaskan fi Bank Islam dalam tempoh 12 bulan ini.
“Bank Islam mencatatkan satu lagi pencapaian penting apabila menjadi salah sebuah institusi perbankan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan SWIFT GPI.
“Bank Islam juga mampu menghentikan pembayaran yang dibuat secara serta-merta sekiranya terdapat kes penipuan atau kesilapan di sebarang peringkat urus niaga dalam rangkaian GPI,’’ katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mohd. Muazzam berkata, pelanggan korporat Bank Islam juga berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membuat bayaran barangan dan perkhidmatan antarabangsa dalam tempoh yang lebih singkat sekali gus memendekkan kitaran bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada risiko tukaran wang asing.
“Mereka juga mampu mengawasi pembayaran rentas sempadan yang disempurnakan pada masa sebenar selain dimaklumkan terus kos dan caj yang terlibat bagi transaksi berkenaan,” jelasnya.
Perkhidmatan SWIFT GPI kini disediakan melalui 144 cawangan Bank Islam di seluruh negara.
SWIFT adalah sebuah koperatif global dan penyedia perkhidmatan pesanan khidmat kewangan yang terulung di dunia dalam memudahkan aliran kewangan global dan tempatan serta menyokong perdagangan di seluruh dunia.
Perkhidmatan ini telah dimanfaatkan oleh 3,550 institusi kewangan di seluruh dunia.
Dijangkakan semua institusi dalam rangkaian SWIFT akan menggunakan GPI menjelang akhir tahun 2020.