WK TV

Noor Hidawati selesa jadi badut

NOOR Hidawati bijak mengambil hati kanak-kanak.
- Diterbit 27 Januari 2020 2:01 AM MYT

MEMILIKI kerjaya yang stabil dan pendapatan mencecah ribuan ringgit sememangnya menjadi dambaan ramai. Namun itu tidak menjadi halangan buat Noor Hidawati Mohd Juki untuk menukar
profesionnya.

Paling memeranjatkan bekas Setiausaha Eksekutif di sebuah syarikat swasta itu lebih rela bergelar badut daripada bekerja makan gaji setiap bulan. Berkesempatan menyelami hati badut berusia 44 tahun ini, dia mula jatuh hati dengan kerjaya tersebut setelah berjumpa dengan salah seorang badut yang dikenali dengan panggilan Labu.

Melalui Labu, dia banyak mendapat maklumat tentang kerjaya itu. Paling menarik perhatiannya, kerjaya tersebut juga merupakan salah satu cabang seni yang diminatinya.

“Dalam dunia badut, selain bijak berinteraksi dengan audiens, kita juga mesti pandai bersolek, berlakon dan sebagainya. Secara tidak langsung, ia tidak menjadi masalah kerana saya sudah biasa dengan perkara itu,” ujarnya.

Cerita Noor Hidawati, sejak sekolah rendah, dia sudah aktif menyertai kelas seni seperti teater dan pernah mewakili daerah Muar dalam pertandingan peringkat negeri sekali gus mendidiknya untuk berani ke hadapan.

“Saya juga pernah mengadakan kelas seni seperti kraf tangan untuk kanak-kanak selain mengajar mereka bergaul dengan masyarakat. Kerana itu, saya lebih bersemangat untuk menjadi badut,” ujarnya.

Berbekalkan restu daripada suami tercinta, Mohammad Fairus Shahuddin, dia mula bergiat aktif sebagai badut sejak Januari 2016. Menggunakan nama Watt De Clown, wanita serba boleh ini turut
memiliki permit busking daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dengan permit yang diperoleh, saya bebas untuk melakukan sebarang persembahan di seluruh Kuala
Lumpur dan yang pasti tidak perlu berasa takut-takut untuk keluar mencari rezeki,” ujar wanita kelahiran Muar, Johor ini.

Ceritanya lagi, dia dikira agak beruntung kerana ilmu seni yang ada padanya membuatkannya tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk membeli peralatan badut seperti kostum dan sebagainya.

“Saya gunakan kreativiti yang ada untuk membuat kostum menggunakan baju terpakai manakala topi pula menggunakan seluar bayi. Ternyata percubaan tersebut berjaya dan ramai yang memuji,” ujarnya.

Jika di luar, kostum badut boleh mencecah harga ratusan ringgit. Bayangkan untuk hidung badut sahaja sudah mencecah harga RM120. Dek kerana itu, dengan kreativiti yang ada, Noor mencipta hidung badut hanya menggunakan bola ping pong.

“Tahun lalu, saya pernah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM2,700 untuk membeli kelengkapan badut.

Disebabkan kostum saya cipta sendiri, maka wang tersebut dapatlah saya gunakan untuk membeli peralatan lain seperti pam elektrik, barangan silap mata dan sebagainya,” ceritanya.

Biarpun sedar persepsi dan stigma masyarakat masih lagi memandang lekeh terhadap kerjaya pilihannya itu, namun bagi Pengerusi Persatuan Seniman Badut Malaysia ini, dia tidak boleh mengawal pendapat orang lain.

“Mungkin ramai yang menganggap badut ini nampak bodoh tetapi tahukah mereka kebodohan yang diperlihatkan tersebut adalah koreograf yang dirancang hanya untuk menceriakan keadaan bukan semula jadi,” ujarnya.

Merupakan satu-satunya badut wanita yang aktif di Kuala Lumpur, ibu kepada empat orang cahaya mata ini mengakui kerjaya baharunya ini banyak membantu sumber pendapatan mereka sekeluarga.

“Kalau dahulu ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif, saya memperoleh pendapatan RM6,000
sebulan dengan mengetepikan soal cuti dan sebagainya. Namun kini dengan bekerja dua kali seminggu,
pendapatannya melebihi gaji terdahulu,” ujarnya.

Kata Noor Hidawati lagi, kini kualiti masanya bersama keluarga juga lebih terjamin dan anak-anaknya turut gembira dengan keadaan tersebut.

Bercerita tentang kenangan pahit yang pernah dilaluinya, pemegang Diploma Pengurusan Hotel daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, tulang kakinya pernah retak akibat terjatuh semasa membuat persembahan.

“Ketika sedang melakukan persembahan di pentas, saya dihampiri seorang penonton lelaki. Dia ingin
bergurau tetapi agak kasar sehingga saya terjatuh. Ketika itu, semua penonton menyangka saya sengaja
menjatuhkan diri.

“Masa itu hanya Tuhan sahaja tahu betapa sakitnya kaki saya tetapi sebagai badut, kita perlu profesional dan tetap melemparkan senyuman selagi mampu. Disebabkan tidak tahan dengan kesakitan tersebut, saya meminta kebenaran daripada pihak penganjur untuk pulang lebih awal,” ujarnya.

Berkongsi pandangan tentang masa hadapan kerjaya badut di Malaysia, jelasnya, potensi badut agak cerah memandangkan setiap hari ada sahaja sambutan majlis hari lahir, perkahwinan dan sebagainya.

“Dalam 365 hari pelbagai majlis diadakan di Malaysia dan permintaan terhadap persembahan badut juga agak tinggi. Cuma terpulang kepada badut itu sendiri bagaimana cara mereka untuk menjual kelebihan diri masing-masing,” ungkapnya yang berhasrat membuka kedai kelengkapan dekorasi belon untuk majlis keraian.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas