Berita

Selamat shopping, e-Tunai Rakyat hadiah daripada kerajaan

PROGRAM e-Tunai Rakyat diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai. - Gambar hiasan
- Diterbit 17 Januari 2020 9:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berharap rakyat negara ini mengambil peluang mendaftar dalam program e-Tunai Rakyat yang setakat semalam (16 Januari) dicatatkan sebanyak RM18.8 juta telah dibelanjakan.

Beliau berkata, program yang bertujuan bagi menggalakkan rakyat menggunakan e-Dompet itu mendapat sambutan menggalakkan sejak dilaksanakan bermula kelmarin apabila mencatatkan sejumlah 672,000 daripada 784,000 permohonan e-Tunai Rakyat diluluskan hingga jam 10 malam tadi

“Saya harap semua rakyat Malaysia ambil manfaat daripada program ini. Ini hadiah daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) beri anda ‘free shopping’ RM30 dan tambah daripada syarikat swasta mereka tambah pulangan balik RM30, jadi anda ada RM60 percuma, boleh shopping atas talian,” katanya.

Ditanya sama ada nilai tunai tersebut akan ditambah lagi memandangkan orang ramai menyatakan jumlah RM30 tidak cukup, sambil tersenyum Guan Eng berkata, ”Biar ini berjalan dululah, selamat shopping.”

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT 2) di antara MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan MMC Gamuda KVMRT  Sdn. Bhd.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan Selasa lepas bagi membolehkan rakyat Malaysia menerima wang melalui e-Dompet sebanyak RM30 membabitkan tiga syarikat pengendali iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Inisiatif tersebut diumumkan Guan Eng semasa Belanjawan 2020 pada Oktober tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM450 juta bagi menggalakkan penggunaan e-Dompet dan ke arah amalan transaksi tanpa tunai.

Dalam pada itu, Guan Eng sekali lagi menafikan program itu merupakan langkah kerajaan untuk mendapatkan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini.

Ini kerana katanya, kerajaan tidak perlu cara tersebut kerana sudah mempunyai data yang lebih menyeluruh melalui kad pengenalan.

“Saya tidak dilihat ia sebagai satu cara untuk dapat maklumat lebih, kalau ada apa-apa manfaat pun ia adalah dari segi trend penggunaan dan corak pembelian.

“Namun kerajaan tidak akan gunakannya kerana tidak babitkan diri dalam perniagaan dan kita akan pastikan ia masih sulit dan ia terus dalam kawalan kerajaan,” tegasnya.

Justeru katanya, orang ramai diharap tidak terbawa-bawa dengan pihak tertentu yang mungkin iri hati terhadap program e-Dompet itu dan mahu memperkotak-katik usaha tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas