Berita

Tiada kenaikan tol PLUS hingga tahun 2058

KERAJAAN memutuskan tiada kenaikan tol sehingga tahun 2058. - Gambar Facebook PLUS Malaysia
- Diterbit 17 Januari 2020 10:00 AM MYT

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

PUTRAJAYA – Sejajar dengan keputusan kerajaan mengurangkan kadar tol, tempoh konsesi bagi semua lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) dilanjutkan selama 20 tahun bermula dari tahun 2038 sehingga 2058.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan tersebut dibuat bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya tanpa bergantung kepada kerajaan.

“Walaupun sebelum ini perjanjian konsesi memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat, keputusan terbaru ini akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun (2020-2058).

“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, PLUS akan kekal sebagai pengendali dan pemegang aset serta liabiliti syarikat di samping mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

“Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.

“Kerajaan yakin keputusan ini akan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat melalui pengurangan beban kadar tol dan dalam masa yang sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan juga tidak lagi menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS dengan penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi tersebut.

“Penjimatan RM42 bilion kini boleh digunakan kerajaan untuk inisiatif yang menguntungkan rakyat. Pelaksanaan pengurangan kadar tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham PLUS,” ujarnya.

Kata kenyataan tersebut, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian lebih setahun dan pertimbangan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas