Berita

Biar Majlis Presiden Pakatan Harapan tentukan isu peralihan kuasa

MOHAMAD SABU mahu fokus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara.
- Diterbit 16 Januari 2020 9:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Isu peralihan kuasa tidak harus terus menerus dibangkitkan kerana ia akan mengganggu tugas kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu berkata, biarlah Majlis Presiden PH yang menentukan perkara tersebut.

Beliau menegaskan, fokus untuk memulihkan ekonomi negara tidak harus terganggu dengan isu-isu lain termasuk isu-isu perkauman dan agama yang sengaja dimainkan.

”Tahun 2020, kerajaan akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk memulihkan ekonomi negara agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, laporan The Straits Times Singapura pada 15 Januari lalu menyebut bahawa pelaburan asing ke Malaysia meningkat pada tahun lalu.

”Ini membuktikan bahawa reformasi yang dilakukan PH dalam pentadbiran kerajaan berjaya menggembalikan kepercayaan pelabur-pelabur asing untuk kembali melabur di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas