KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir mahu masyarakat Islam di negara ini mewujudkan keseimbangan dalam diri bagi aspek kerohanian dan kerjaya supaya dapat melengkapkan kehidupan mereka.
Perdana Menteri berkata, tuntutan Islam untuk beribadat sama beratnya dengan tuntutan untuk bekerja dan memaju diri di dunia.
“Kita tidak sempurna sebagai manusia jika kerohanian tidak diisi dengan apa yang telah digariskan agama. Namun kadang-kadang apabila seseorang mengejar tuntutan agama, mereka lupa atau tidak sedar bahawa penekanan sama juga perlu diberi kepada keperluan jasmani,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Bangsar hari ini.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutan, Khalid Abd. Samad; Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Turut hadir Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Perdana Menteri berharap agar semua warga kerja TNB dan orang lain yang menggunakan Balai Islam ini akan melihat ia sebagai seruan untuk beribadat dan pada masa sama mengingati bahawa bekerja juga satu ibadat yang penting.
“Saya sekali lagi ingin ucap tahniah kepada TNB yang telah menyediakan sebuah Balai Islam serba lengkap demi pembangunan ummah, khususnya dalam kalangan warga kerja TNB.
“Saya harap usaha ini mendapat keredaan dan keberkatan Allah,” katanya yang turut mengumumkan nama baharu bangunan itu iaitu Kompleks Balai Islam An-Nur, Ibu Pejabat TNB.
Kompleks di atas tanah berkeluasan tujuh ekar merupakan sebahagian daripada Projek Platinum TNB dengan keunikannya terletak pada struktur veil melengkung untuk tujuan pengudaraan ke Dewan Solat utama.
Apertures kaca berbentuk berlian pada dinding kubah dan menara moden mewujudkan siluet tersendiri.
Dewan solatnya dapat memuatkan 1,300 jemaah termasuk aras mezanin untuk 250 muslimah. – WILAYAHKU