Berita

Pencapaian TNB merupakan ‘success story’ dasar penswastaan

KOMPLEKS TNB
Tun Mahathir melihat melihat replika Kompleks Balai Islam An-Nur TNB ketika merasmikan kompleks itu di sini hari ini.
- Diterbit 16 Januari 2020 6:39 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pelbagai pencapaian yang dicatatkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berjaya meletakkan syarikat utiliti itu sebagai salah satu ‘success story’ dalam dasar penswastaan
kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kejayaan itu secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan yang lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat.

“Buat masa kini, TNB pasti sedang memberi perhatian terutama dalam fasa transformasi Industri Bekalan Elektrik Malaysia (Malaysia Energy Supply Industry – MESI) 2.0.

“Hakikatnya, banyak peluang terbuka luas sempena liberalisasi pasaran dan penjanaan di bawah pembaharuan MESI 2.0 di samping TNB terus menerajui pengendalian sistem grid dan pengagihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam TNB di Bangsar di sini hari ini sempena ulang tahun ke-70 syarikat itu.

Perdana Menteri berkata, Bank Dunia dalam laporannya – Doing Business 2020 menyatakan Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga keempat bagi urusan mendapatkan elektrik (getting electricity).

Beliau berkata, laporan Bank Dunia yang menilai 190 negara dan ekonomi itu memaklumkan, pencapaian Malaysia adalah satu lonjakan besar berbanding pertama kali dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011 yang mana negara ini berada di tangga ke-60.

Tegas beliau, TNB berjaya mencapai peringkat ini kerana berani melakukan perubahan yang kadang-kadang dianggap melawan arus selain cekal mengejar cita-cita tersebut.

“Saya dimaklumkan jenama TNB semakin dikenali di luar negara dengan penglibatan dalam bidang penjanaan di seberang laut termasuk di United Kingdom dan Turki.

“Malah sudah tiga kali TNB merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada World Branding Awards dengan terbaharu bagi tahun 2019,” katanya.

Tun Mahathir berkata, TNB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berperanan penting sebagai pemangkin kemajuan negara sepanjang 70 tahun.

Beliau menjelaskan, melalui Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1983, Lembaga Letrik Negara (LLN) ketika itu adalah antara agensi kerajaan yang telah disenaraikan untuk melalui proses penswastaan.

“Antara objektif utama penswastaan ialah mengurang beban kewangan kerajaan. Pada masa sama ia diyakini akan membawa banyak faedah kepada organisasi itu termasuklah kakitangannya,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, hasil daripada penswastaan LLN, lebih 20,000 kakitangan TNB ketika itu menjadi pemegang saham, menikmati gaji dan struktur gaji yang lebih baik serta pelbagai faedah termasuk bonus dan sebagainya.

Tambah beliau, penswastaan TNB telah membawa banyak manfaat kepada rakyat negara ini seperti perkhidmatan bertambah baik dan produktiviti meningkat hasil sistem imbuhan berdasarkan prestasi.

Selain itu, jelas beliau, lebih 60 peratus saham TNB dipegang pelbagai syarikat-syarikat pelabur berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Kata beliau, ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan-badan berkenaan.

“Bayaran dividen bukan sahaja dinikmati para pelabur, tetapi juga rakyat biasa yang mendapat faedah melalui caruman dan simpanan masing-masing.

“Untuk mencapai kejayaan masa depan, ini bermakna kita perlu berterusan berdaya saing dan merencanakan strategi-strategi baharu bersesuaian dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas