LABUAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas tujuh buah kontena yang mengandungi minuman keras di Pelabuhan Merdeka, semalam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas tujuh kontena di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 124,175 liter minuman keras bernilai RM595,380 dengan jumlah cukai RM1.95 juta.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu diisytiharkan sebagai ‘Drilling Equipment‘ dan ‘Lubricating Oil‘,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Abdullah, semua barangan itu disyaki cuba diseludup dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
“JKDM meminta orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan,” katanya. – WILAYAHKU