Berita

Salahuddin harap Op Naga diteruskan, kekang bot nelayan asing ceroboh perairan negara

SALAHUDDIN bersalaman dengan kakitangan MOA selepas amanat baru-baru ini. SALAHUDDIN bersalaman dengan kakitangan MOA selepas amanat baru-baru ini.
- Diterbit 6 Januari 2020 11:49 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap Kabinet dapat memutuskan agar Op Naga yang bertanggungjawab menumpaskan pencerobohan kapal-kapal nelayan asing ke perairan negara diteruskan pada tahun ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan pada tahun lalu ternyata memberikan kesan positif terhadap usaha melindungi hasil hidupan maritim negara sekali gus membolehkan nelayan tempatan mendapat pulangan hasil tangkapan lebih banyak pada masa hadapan.

Sambil memberikan kiasan bahawa melalui tindakan tegas itu, suatu hari nanti ‘ikan akan berenang ke pantai’ iaitu bermaksud lebih banyak hasil tangkapan ikan dapat diturunkan oleh nelayan tempatan sekali gus dapat memberikan hasil kepada golongan tersebut dan industri perikanan negara.

”Jangan ketawakan saya, Ibu Susi (Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti) yang ajar saya. Dia telah bertindak menghalau dan membakar bot asing, jangan bagi masuk lagi.

“Dia berkata, beri saya tiga tahun untuk buktikan, tahun ketiga nanti ikan yu berenang ke pantai,” katanya.

Salahuddin berkata, ketegasan dan komitmen negara jiran itu dalam mengekang pencerobohan bot nelayan asing semakin menampakkan hasilnya dan perkara itu turut perlu dilakukan di negara ini.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas itu Salahuddin berkata, data mendapati sebanyak 178 kapal nelayan asing telah berjaya ditahan dalam tempoh enam bulan lalu dan ia terbukti berkesan.

Beliau berkata, berdasarkan hasil turun padang pihaknya ke jeti nelayan di Mersing, Johor; Kuantan dan Rompin, Pahang dalam tempoh tiga bulan sebelum musim tengkujuh hujung tahun lalu, golongan nelayan memberikan maklum balas bahawa hasil tangkapan mereka didapati meningkat.

”Jadi operasi ini sangat berkesan, saya akan minta Kabinet teruskan operasi ini sangat penting,” katanya.

Beliau berkata, operasi tersebut bukan sekadar menahan bot nelayan asing malah membolehkan Agensi Penguatkuasana Maritim Malaysia (APMM) dapat merampaskan peralatan yang dianggap boleh memusnahkan ekosistem maritim negara seperti pukat jerut dan pukat harimau yang tidak menepati peraturan spesifikasi.

Op Naga merupakan operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Luar, akan diteruskan tahun ini.

Sebelum ini Salahuddin dilaporkan berkata, Op Naa memberi kesan positif dengan adanya pindaan terhadap Akta Perikanan 1985 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Julai lepas antara lain membolehkan denda maksimum dinaikkan bagi pemilik atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi setiap anggota kru turut dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas