WK2

Pencapaian, kisah suka duka latari 2019

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah
- Diterbit 27 Disember 2019 6:22 AM MYT

GARIS masa 2019 mencatatkan pelbagai kisah suka dan duka kepada seluruh rakyat Malaysia. Sorotan sepanjang tahun 2019 turut mempamerkan beberapa pencapaian negara ini.

Negara memulakan langkah berani apabila mewartakan seluruh kawasan premis dan kedai makan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari sekali gus mendidik rakyat mengamalkan budaya hidup sihat.

Permulaan tahun 2019 turut mencatatkan kegemparan apabila pada 6 Januari, Yang Dipertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V Sultan Ismail Petra mengumumkan perletakkan jawatan baginda dan berangkat pulang ke Kelantan.

Sebelum itu media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan baginda.

Bagi menggantikan Sultan Muhammad V, pada 31 Januari, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah telah dimasyurkan sebagai Yang diPertuan Agong ke-16 dan baginda ditabalkan secara rasmi pada 30 Julai lalu.

RINTIS

4 Januari

Pelancaran akhbar Wilayahku oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Akhbar mingguan ini diedarkan di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

15 Januari

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah ditabal sebagai Sultan Pahang ke-6 menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang kegeringan.

15 Januari

PERODUA Aruz lebih mesra pengguna.

Persaingan antara Proton dan Perodua jelas kelihatan apabila Perodua melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, Aruz.

GEMPUR RASUAH

29 Januari

Kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang menggariskan lima inisiatif bagi menangani campur tangan ahli politik dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

Lima inisiatif itu diterajui Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. Kementerian Kesihatan melancarkan program perlindungan kesihatan untuk golongan B40, Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40).

PENCEMARAN

7 Mac

Seluruh negara gempar apabila insiden pencemaran bahan kimi dan sisa toksik di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, Johor hingga menyebabkan 111 buah sekolah terpaksa ditutup dan menjejaskan kira-kira 2, 775 orang awam.

UBAH TERAJU

3 Mei

Tan Sri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

6 Mei

Buat pertama kali kawasan tradisi bazar Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman dipindahkan ke Jalan Raja bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung untuk membeli belah sempena sambutan Aidilfitri. Meskipun berlaku kontroversi, langkah pemindahan tersebut memberikan imej baharu kepada Bazar Ramadan yang lebih kemas dan teratur.

1 Julai

Datuk Dr. Daud Abu Bakar dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menggantikan Dr. Maszlee Malik yang sebelum itu mencetuskan kritikan orang ramai kerana membantah Menteri Pendidikan itu memegang jawatan berkenaan.

KUASA WANITA

2 Mei

Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu menjadikan beliau wanita pertama dilantik ke jawatan tertinggi kehakiman negara.

Tengku Maimun menggalas tanggungjawab mengetuai badan kehakiman.

1 Jun

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdul sekali gus menjadikan wanita pertama menerajui badan memerangi korupsi itu.

MANGKAT

22 Mei

Kemangkatan Sultan Pahang ke-5, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

28 September

Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan dan dikebumikan di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu.

WIRA NEGARA

4 September

Anggota komando Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd. Zahir Armaya, anak kepada pelakon komedi terkenal, A.R. Badul maut akibat terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, kota Kinabalu. Insiden itu menggemparkan negara hingga memaksa ATM melakukan siasatan ke atas kes berkenaan.

PERGI TAK KEMBALI

JENAZAH Allahyarham Abu Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur.

1 Mei

Pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz yang juga bekas Pegawai Agama Istana Negara meninggal dunia selepas terjatuh setelah menunaikan solat subuh di rumahnya.

28 Mei

Ahli sejarah terkenal, Tan Sri Prof. Dr. Khoo Kay Kim meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah mengalami kegagalan paru-paru. Kematiannya merupakan kehilangan besar memandangkan beliau satu-satunya ahli sejarah bukan Melayu yang banyak memberikan pencerahan berhubung sejarah Malaysia.

21 September

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Rafik yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia akibat serangan jantung.

TEKNOLOGI

18 April

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara melancarkan Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya.

GEMPAR

2 Ogos

Lapan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur mengalami kegagalan sebelum terhempas dari tingkat 5 dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

KEMUDAHAN BELIA

RUMAH mikro berkonsepkan hotel kapsul bagi individu bujang B40 dengan kadar sewa RM100 sebulan dilancarkan.

20 Ogos

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka pendaftaran rumah mikro berkonsepkan hotel kapsul bagi individu bujang B40 dengan kadar sewa RM100 sebulan.

MAKMUR BERSAMA

7 Oktober

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) yang merupakan sebuah inisiatif daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

ARENA

17- 21 Oktober

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 31, membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mengekalkan status Raja Pecut Asia apabila menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1 dalam aksi penentuan pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Oktober lalu.

8 Disember

Pelari negara, Muhammad Haiqal Hanafi muncul sebagai manusia terpantas di rantau Asia Tenggara selepas meraih pingat emas acara 100m Sukan SEA di Stadium Olahraga New Clark City, Manila, Filipina.

MUHAMMAD Haiqal raja pecut baharu Asia Tenggara.

DI PUNCAK DUNIA

18 – 21 Disember

Malaysia menutup tirai 2019 dengan mencatatkan kejayaan di pentas dunia dengan penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019. Sidang kemuncak itu mendapat dokongan negara yang penting dalam geopolitik dunia Islam dengan kehadiran Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan; Presiden Iran, Hassan Rouhani serta Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. Sidang itu membincangkan masalah yang dihadapi umat Islam termasuk menangani ancaman Islamofobia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas