Artikel

Sanggup berpanas, menunggu demi minat ‘cincin berapi’

ORANG ramai menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus di perkarangan Planetarium Negara hari ini.
- Diterbit 26 Disember 2019 7:16 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 pengunjung Planetarium Negara hari ini tidak melepaskan peluang berkumpul dan menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus.

Malah, ada yang sanggup berpanas dan menunggu sejak pukul 10.30 pagi di kawasan tersebut bagi melihat fenomena yang berlaku dua dekad ini.

NUR SYAZA WAHIDA

Bagi pelajar, Nur Syaza Wahida Abdul Aziz , 21, dia datang menyaksikan fenomena itu disebabkan minat mendalam terhadap bidang astronomi.

“Dulu saya belajar dalam bidang sains tulen sewaktu sekolah menengah dan pernah bercadang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Namun sekarang saya mengambil jurusan lain.

“Walau apa pun, ini tidak melunturkan minat saya dan berharap dapat mendalami ilmu ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Wilayahku di sini hari ini.

AISYAH

Dalam pada itu, Suri rumah, Aisyah Abd. Rahim, 38, berkata, dia menggunakan peluang yang diberikan Planetarium Negara sebagai pendedahan awal kepada anaknya.

Menurutnya, pembelajaran dan pengajaran subjek berkaitan astronomi perlu bermula sejak awal untuk memudahkan mereka memahami dan mempelajari ilmu berkaitan secara mendalam.

“Kita tanamkan minat dari usia muda lagi supaya apabila besar sekurang-kurangnya mereka tahu ke arah mana mahu tanamkan cita-cita,” jelasnya.

Bagi Arinie Rohayu Rosli, 40, pula, dia menggunakan kesempatan cuti sekolah ini dengan membawa anak-anaknya menyaksikan fenomena tersebut sebagai salah satu pengisian yang boleh memberi faedah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil juga tidak ketinggalan menyaksikan gerhana itu bersama pengunjung.

Fahmi berkata, fenomena itu adalah antara masa terbaik untuk mendedahkan golongan muda dalam bidang sains dan teknologi.

“Hari ini istimewa kerana tidak semua negara di dunia dapat menyaksikan Gerhana Matahari Anulus.

“Saya gembira kerana ramai ibu bapa yang sanggup meluangkan masa membawa anak-anak ke Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena istimewa itu.

“Semoga selepas ini golongan muda akan lebih meminati sains dan teknologi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas