Berita

‘Cincin berapi’ kembali selepas 20 tahun

||||
- Diterbit 26 Disember 2019 5:51 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

KUALA LUMPUR – Pembentukan ‘cincin berapi’ pada waktu tengah hari yang sebelum ini berlaku di Malaysia pada 22 Ogos 1998, kini muncul kembali dan memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan keunikan fenomena alam.

Fenomena yang memberi kesan kepada flora dan fauna itu tercetus apabila bumi, bulan serta matahari berada dalam kedudukan sebaris, sekali gus menyebabkan persekitaran tiba-tiba bertukar gelap untuk tempoh tertentu.

GERHANA Matahari Anulus yang dirakam di Dengkil, Selangor kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi.

Pegawai Sains Planetarium Negara, Nor Fazilah Mohd. Hanafiah berkata, kedudukan bulan yang jauh dari bumi akan menghasilkan bayang iaitu Atumbra.

“Kawasan yang berpusat di Atumbra berpeluang melihat gerhana Anulus. Lebar jalur Anulus adalah 117 kilometer (km)

“Gerhana ini boleh dilihat di Arab Saudi kemudian ke India, Sumatera, Malaysia (Johor dan Sarawak), Singapura, dan Indonesia dengan berakhir di Lautan Pasifik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Antara lokasi yang boleh menyaksikan proses pembentukan fenomena yang berlaku sekali dalam tempoh dua dekad ini adalah di daerah paling selatan Malaysia iaitu Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.

Orang ramai menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus di perkarangan Planetarium negara hari ini.

Faktor yang menentukan fenomena ini adalah taburan awan, jerebu dan kemungkinan hujan pada waktu ketiga-tiga sistem solar berkenaan berada dalam kedudukan sebaris.

Dalam pada itu, Nor Fazilah berkata, pihaknya turut melakukan kajian terhadap matahari dan perubahan atmosfera bagi melihat kesan fenomena Gerhana Matahari Anulus ini.

“Kita buat kajian di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak bagi menentukan perubahan terhadap perilaku haiwan serta air pasang surut,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas