Berita

“Anggap kutukan sebagai kasih sayang” – Nabila Razali

TIDAK kisah dengan negatif yang dilemparkan kepadanya. -Foto: Noorazlina Othman.
- Diterbit 22 November 2019 8:52 AM MYT

Oleh Ibnatie Aziza Matt Roff

ARTIS wanita ini pernah menerima kecaman daripada peminat seni suara tanah air apabila dikatakan mempunyai suara ‘chipmunks’ dan tidak berbakat pun sebagai penyanyi.

Namun di sebalik kecaman tersebut, nama Nabila Razali tetap berjaya meraih perhatian dan terus mendapat tempat dalam industri muzik.

Bukan sekadar mencipta nama sebagai penyanyi, Nabila boleh dikatakan bertuah kerana dihujani tawaran menjadi duta mahupun jurucakap kempen bagi pelbagai jenama seperti Samsung, Toyota, Touch n Go dan banyak lagi.

Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 27, dia tidak boleh menghalang orang ramai daripada bercakap yang negatif tentang dirinya.

“Alhamdulillah, saya masih bertahan sampai sekarang. Apa yang mereka bercakap tentang saya sama ada positif mahupun negatif, saya tetap menerima segalanya dengan hati yang terbuka.

“Saya tahu ramai yang melemparkan komen negatif pasal diri ini namun itu sebenarnya salah satu tanda bahawa mereka masih lagi mempunyai keinginan untuk mengetahui perkembangan terbaharu tentang Nabila Razali,” ujarnya.

Katanya lagi, mungkin ada segelintir masih lagi yang memberi komen-komen tidak menyukai dirinya namun dalam masa sama menurutnya mungkin itu adalah cara pengkritik untuk memintanya meningkatkan mutu nyanyian ke arah yang lebih baik.

“Kadang-kadang setiap orang punya cara tersendiri untuk menyampaikan
nasihat. Saya seronok berpeluang untuk melalui pengalaman ini. Alhamdulillah sekarang saya dah mampu mencapai sasaran yang diinginkan.

“Sudah pasti saya tak akan berhenti di sini kerana masih ada banyak lagi bidang baru untuk diceburi,” ujar bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim 10 ini.

Walau apapun kata penyanyi serba bolehini lagi, dia sentiasa bersyukur apabila kelab peminatnya, Nabila FC sentiasa berada di belakangnya
sekali gus sentiasa menyokong dan menyayangi dirinya dari dahulu hingga hari ini.

Tidak mahu terus membebankan diri dengan terlalu memikir apa yang berlaku, Nabila sentiasa berusaha keras untuk mencapai kedudukan seperti hari ini. Malah dia menganggap ia adalah cabaran dan asam garam yang harus dilalui apabila bergelar anak seni.

“Sebagai hamba-Nya, siapalah saya untuk menidakkan rezeki yang diperoleh. Apa yang boleh saya katakan, setakat ini Alhamdulillah,
saya juga terlibat dengan beberapa jenama lain dan bersyukur atas kurniaan Yang Maha Esa.

“Kini saya fokus untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam bidang seni ini kerana ia sudah menjadi seperti darah daging saya. Dek keranaitu, saya akan memastikan ia dapat mencapai tahap yang membanggakan,” ujar penyanyi kecil molek ini.

Sebagai insan biasa yang tidak lepas dari melakukan kesalahan, Nabila juga tidak putus-putus berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai seorang personaliti yang dapat menjadi contoh kepada generasi muda.

“Bukan sahaja dari segi bakat bahkan personaliti juga perlu bergerak
seiring. Jadi itulah yang saya cuba buat hari ini, tidak gelabah menerima kritikan tetapi terbuka untuk memperbaiki serta menghiasi keperibadian diri.

“Setiap apa yang dilakukan, saya akan berfikir balik tentang niat asal ketika ingin menceburi industri seni. Dahulu saya pernah bergelut untuk menaikkan jenama Nabila Razali supaya terus relevan dalam industri,” ujarnya yang berterima kasih kepada peminat dan pihak terlibat yang tidak henti menyokong kerjayanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas