Berita

Haram sertai maraton, larian dianjur syarikat judi

ISLAM tidak melarang larian maraton selagi mana tidak melanggar syariat. -Gambar hiasan
- Diterbit 22 November 2019 9:14 AM MYT

Soalan: Assalamualaikum Datuk Seri Mufti. Apakah hukum menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh syarikat judi? Mohon penjelasan. Terima kasih.

SUKAN maraton adalah suatu perlumbaan yang melibatkan berjalan, berlari biasa atau berlari anak-anak dengan jarak yang tetap sebanyak 42.195 kilometer. Secara umumnya, agama Islam tidak menghalang aktiviti pertandingan seperti ini. Justeru pertandingan seperti ini adalah dibenarkan oleh Islam selagi mana tidak menyalahi kerangka syariat Islam
yang digariskan.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, beliau telah berkata maksudnya: “Rasulullah SAW berlumba lari mendahuluiku dan kemudian aku pula yang mendahuluinya. Sehinggalah tubuhku agak berisi dan baginda mendahuluiku dan terus mendahuluiku.

Kemudian baginda mengatakan: “Ini adalah balasan kepada kekalahan yang lalu.” Riwayat Ibn Hibban (4691)

Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi
perkara-perkara berikut:

— Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
— Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
— Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
— Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
— Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram. (Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan, 2004)

Menjawab kepada persoalan di atas, kita dapat melihat bahawa sesuatu
yang membawa kepada haram adalah haram hukumnya. Dosa perbuatan haram tersebut bukan hanya dipikul oleh si pelaku sahaja, malah dosa tersebut turut dipikul oleh mereka yang menyumbang ke arahnya, sama ada sumbangan tersebut melalui wang ringgit ataupun sokongan moral.

Setiap orang akan menanggung dosa mengikut kadar sumbangannya. (Lihat Halal dan Haram di Dalam Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 27)

Kesimpulan, setiap mukallaf dipertanggungjawabkan di atas apa yang dilakukan di dunia ini. Dalam isu ini, kami cenderung mengatakan bahawa
haram dan dilarang untuk menyertai maraton atau apa sahaja pertandingan yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat judi atau syarikat yang menjalankan perniagaan yang dilarang oleh syarak.

Ini kerana, perbuatan menyertainya dilihat secara langsung sebagai tanda sokongan serta merestui apa yang dilakukan oleh penganjur tersebut.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man Ibn Bashir R.A, Nabi SAW telah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar.” Riwayat al-Tarmizi (1205) dan al-Nasa’ie (5710)

Justeru di atas dasar untuk mengelakkan perkara-perkara syubhah, maka perkara seperti ini perlu dijauhi dan dielakkan. Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan melapangkan hati kita semua untuk
terus istiqamah beramal mengikut syariat yang sebenar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas