Oleh HELMI MOHD. FOAD dan NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menepiskan dakwaan bahawa cadangan pembangunan semula Kampung Baru hanya merupakan ‘wayang’ daripada pihak kerajaan.
Malah beliau menegaskan, pihaknya mempunyai keyakinan bahawa usaha bagi mendapatkan persetujuan daripada keseluruhan pemilik dan pewaris tanah adalah tidak mustahil.
Perkara itu berdasarkan tiga sebab iaitu pembangunan semula Kampung Baru adalah satu usaha kerajaan bagi memastikan matlamat asal pembukaan penempatan tersebut kira-kira 100 tahun lalu untuk meningkatkan jumlah orang Melayu tinggal di Kuala Lumpur tercapai.
“Saya yakin boleh dapat persetujuan pemilik, ia bukan satu wayang tetapi usaha bersungguh-sungguh untuk cari penyelesaian dan capai matlamat asal serta manfaat kepada pemilik tanah,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempersoalkan bagaimana Khalid akan mendapatkan 100 peratus persetujuan daripada pemilik tanah serta menganggap ia sebagai wayang.
Khalid berkata, pihaknya membuat rayuan kepada kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru agar memahami dan mengingati semula matlamat asal kampung tradisi itu diwujudkan.
Katanya, tujuan utamanya adalah untuk membolehkan lebih ramai orang Melayu dapat tinggal di ibu negara sejajar dengan populasi penduduk ibu kota yang telah mencecah dua juta orang.
Justeru tegas beliau, dakwaan bahawa menjual tanah tersebut untuk dibangunkan merupakan pengkhianatan adalah salah kerana dengan pembangunan yang dirancangkan itu, jumlah orang Melayu akan bertambah di Kuala Lumpur.
“Sekiranya pemilik mengetahui matlamat asal, mereka tidak akan menjadi penghalang sebaliknya bekerjasama supaya matlamat tersebut tercapai,” ujarnya.
Khalid menyatakan, beliau yakin pemilik akan bersama-sama membangunkan Kampung Baru apabila mereka menyedari matlamat asal penubuhan penempatan Melayu itu.
“Kampung Baru asalnya tanah anugerah, maknanya kamu diberi percuma, lepas itu ada jual sedikit… tak ada masalah tetapi saya (kerajaan) tawarkan harga paling tinggi.
“Harga RM1,000 sekaki persegi sebenarnya bersamaan RM43.5 juta seekar (0.4 hektar), mana ada tanah orang Melayu yang disyarat pemilikan orang Melayu dibeli dengan harga tersebut.
“Kalau ada tolong tunjuk kepada saya, setakat ini tidak ada, penduduk tidak rugi kerana dapat harga tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, harga tersebut katanya tidak wajar dibandingkan dengan tanah di kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana kadar harga RM3,000 sekaki persegi seperti didakwa adalah selepas ia dibangunkan.
Sementara itu, beliau turut menafikan tuduhan pembangkang yang menggelarnya sebagai ‘broker tanah Kampung Baru’ kerana proses tawaran dan pembelian tanah dibuat secara terbuka dan bukan secara rahsia.
“Dengan membuat tawaran secara terbuka kita telah menyahkan sebarang unsur orang tengah.
“Kalau ada broker, harga tanah yang kerajaan nak beli dirahsiakan, jadi broker akan buat tawaran untuk beli pada harga lebih murah, kemudian jual pada kerajaan dengan harga RM850 kaki persegi.
“Ini dulu, sekarang telus, sebab itu mereka (pihak tertentu) marah pada saya kerana tak guna orang tengah,” katanya.