Berita

Elak salah guna Sunnah

|
- Diterbit 7 November 2019 9:08 AM MYT

Tanggal 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh yang istimewa khususnya bagi umat Islam. Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW atau dinamakan sebagai Maulid Nabi disambut secara besar-besaran dengan pelbagai pengisisan. Antaranya adalah perarakan, bacaan selawat beramai-ramai juga majlis kenduri dan ceramah agama berkaitan baginda SAW.

Dari segi pensejarahan, sambutan maulid Nabi dikaitkan dengan tradisi pemerintah Islam pada zaman Fatimiyyah. Ia menjadi titik polemik antara golongan yang mengharuskan sambutan maulid dan yang melarang.

Larangan ini timbul kerana sambutan hari kelahiran tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan juga khulafa’ al-rasyidin sebaliknya hanya dilakukan oleh umat Islam terkemudian.

Hakikatnya dalam masyarakat Islam kini telah timbul pelbagai penyalahgunaan terhadap Sunnah. Akibat jahil dan tidak mengenal Nabi dan mendalami Sunnah Nabi SAW, mereka telah mengekploitasikan Sunnah Nabi atas nama “mengamalkan Sunnah”. Natijahnya lahir produk, perkhidmatan, amalan atau gaya yang dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Terdapat segelintir pengusaha menggunakan pelabelan Sunnah dalam produk dan perkhidmatan sebagai strategi pemasaran. Justeru mereka menghasilkan produk makanan dan minuman dengan berbagai jenama dan kandungan bahan Sunnah.

Sedangkan produk yang dihasilkan bukan berasaskan penelitian dan penyelidikan yang mendalam sama ada mengikut tatacara pengambilan oleh Nabi SAW dalam bentuk sukatan kuantiti dan kualiti makanan terbabit serta amalan pengambilan makanan dalam latar belakang budaya Arab di samping latar belakang iklim setempat di Mekah atau Madinah.

Penelitian terhadap cara pengambilan dan latar belakang budaya masyarakat adalah signifikan bagi melihat bentuk dan kadar pengambilan dan kesesuaiannya dengan pengguna setempat di Malaysia.

Sebaliknya mereka sekadar memetik hadis Nabi secara umum dan memasukkan unsur bahan yang disebut tersebut ke dalam produk yang dihasilkan.

Tindakan pengusaha ini biasanya melibatkan OEM (Original Equipment Manufacturer) iaitu sesuatu produk dikeluarkan oleh pihak lain kepada pengusaha di bawah jenama yang dikehendaki.

Pihak pengeluar akan mengadunkan bahan-bahan yang diminta oleh pengusaha ke dalam produk yang dihasilkan hinggalah ke proses pembungkusan dan pelabelan.

Ada produk yang dihasilkan disertakan dengan dakwaan melampau dan testimoni pengguna. Produk ‘ajaib’ yang mengandungi bahan Sunnah didakwa boleh merawat 1,001 jenis penyakit termasuklah 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan sebagai tuntutan perubatan oleh Kementerian Kesihatan antaranya kanser, jantung dan kencing manis.

Malangnya produk yang dihasilkan hanya bersandarkan khasiat makanan Sunnah tanpa melalui kajian dan ujian klinikal pasca pengeluaran untuk dibuktikan keberkesanannya sebaliknya hanya menggunakan testimoni pengguna yang boleh dipertikaikan.

Analisis kandungan terhadap produk tertentu menunjukkan adanya bahan berbahaya seperti dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983 di sebalik pelabelan Sunnah.

Sejajar dengan dakwaan khasiat yang pelbagai, produk turut dijual dengan harga yang tinggi kepada pengguna.

Terdapat juga kalangan ibu bapa yang menolak kaedah rawatan moden dengan menggunakan pendekatan alternatif, iaitu pengambilan makanan Sunnah di samping mengamalkan teknik yang dikaitkan dengan Sunnah.

Misalnya golongan antivaksin berkeras menolak suntikan vaksin kepada kanak-kanak dengan alasan untuk menjaga kesucian tubuh anak daripada najis dan hanya mengambil makanan Sunnah sebagai ganti imunisasinya.

Begitu juga dengan golongan yang mengamalkan kaedah melahirkan anak di rumah (homebirth) tanpa pemantauan anggota kesihatan terlatih, mereka menolak kaedah moden dan mengamalkan pengambilan makanan Sunnah serta mengikut amalan secara alami seperti mana dalam kisah kelahiran Nabi Isa AS.

Salah faham

Senario ini merupakan sebahagian daripada barah dalam masyarakat yang salah faham terhadap Sunnah yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengikutnya. Semakin jauh dari zaman Nabi SAW, umat semakin keliru dalam memilih Sunnah untuk diamalkan, malah ada pihak mencari keuntungan di sebalik senario tersebut.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitulah) al-Quran dan Sunnah NabiNya.” (Riwayat Malik, no. hadis: 1594). Jelasnya, Baginda telah mewariskan dua khazanah penting kepada umat Islam untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

Sehubungan dengan itu, dalam aspek pengambilan makanan dan minuman, syariat Islam tidak meletakkan makanan Sunnah sebagai keutamaan asas hingga menafikan makanan setempat yang halal lagi tayyib.

Sebaliknya dalam al-Qur’an, perintah yang diturunkan adalah arahan mengambil makanan secara umum (al-Baqarah [2]: 60) dan makanan yang halal lagi tayyib (al-Baqarah [2]: 168, 172; al-Ma’idah [5]: 88; Surah al-Nahl [16]:114).

Selain itu, penyalahgunaan label Sunnah turut memberi imej yang buruk terhadap Nabi SAW. Umpamanya apabila berlaku implikasi kemudaratan dan kematian akibat pengambilan produk yang dilabel dengan Sunnah, ia dapat memberi kesan negatif terhadap kesucian Sunnah Nabi SAW.

Di samping itu, menafikan rawatan dan perubatan moden yang diyakini keberkesanannya turut bersalahan dengan Sunnah Nabi SAW. Ini kerana dalam urusan perubatan, Baginda pernah mengarahkan Sahabat untuk bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan (Riwayat Abu Daud, no. hadis: 3875).

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas