Berita

Tangani isu keselamatan, punca kemalangan

AZIZI (duduk, tengah) bergambar bersama peserta Bengkel Keselamatan Jalan Raya Putrajaya 2019 di Janda Baik baru-baru ini.
- Diterbit 7 November 2019 8:22 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

JANDA BAIK – Bagi memastikan keselamatan warga Putrajaya khususnya pengguna jalan raya terjamin dan terhindar daripada kemalangan maut, Bahagian Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya melalui Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Putrajaya (Prose) menganjurkan Bengkel Keselamatan Jalan Raya Putrajaya 2019 di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung pada 1 hingga November lalu melibatkan kira-kira 100 peserta daripada pelbagai bidang kepakaran antaranya Ketua Unit/Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Rizati Hamidun; Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Asisten Superintenden Mohd. Asri Abdul; pegawai-pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Turut sama menghadiri bengkel tersebut adalah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kejiranan Rukun Tetangga (KRT), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Persatuan JKJR, ahli surau dan komuniti Putrajaya.

Sepanjang dua hari penganjurannya, kesemua peserta membincangkan punca serta cara untuk menangani masalah yang membabitkan keselamatan di jalan raya. Ia juga ekoran kemalangan maut melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terjadi di Jambatan Sri Ehsan, Putrajaya.

Antara fokus utama adalah sikap warga Putrajaya terutama penjawat awam yang sering memandu laju dan mengabaikan aspek keselamatan jalan raya selain penguatkuasaan yang lemah serta kurang pengetahuan tentang kaedah-kaedah lalu lintas termasuk simbol dan garisan zibra.

Peserta juga membincangkan cara untuk meningkatkan penguatkuasaan dan mengurangkan kadar kesalahan jalan raya khususnya di kawasan-kawasan sekolah yang melibatkan kanak-kanak.

Menurut Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Datuk Azizi Ahmad Termizi, bengkel tersebut juga bertepatan dengan usaha JKJR untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain turut melibatkan komuniti bagi membolehkan maklumat disampaikan secara menyeluruh.

“Ia membantu untuk menggerakkan Putrajaya ke aras bandar raya yang selamat dan terancang menerusi inisiatif penduduk serta advokasi.

“Perbincangan peserta juga bagus. Bagi fasa pertama, kitab oleh perbanyakkan lagi program membabitkan keselamatan jalan raya selain beberapa melakukan penambahbaikkan bagi membolehkan matlamat utama tercapai.

“Fasa kedua yang melibatkan pelaksanaan medium boleh diadakan pada tahun hadapan manakala fasa terakhir iaitu yang melibatkan jangka masa panjang seperti perbincangan lanjut atau penukaran dasar boleh dilakukan pada tahun hadapan juga,” katanya ketika berucap pada majlis penutup bengkel berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azizi turut menekankan tentang kepentingan pendidikan serta advokasi bagi membolehkan setiap perancangan dan maklumat disampaikan secara terus kepada warga Putrajaya khususnya pengguna jalan raya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas