Berita

Fotografi bantu promosi produk pelancongan Putrajaya

AMINUDDIN (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PFPP) 2019 baru-baru ini. - Foto: Mohd Farish (PPj).
- Diterbit 7 November 2019 9:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal memanfaatkan penyertaan dalam Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PFPP) anjurannya setiap tahun sebagai pangkalan data untuk meningkatkan promosi kawasan pentadbiran kerajaan Persekutuan ini.

Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, skala penyertaan yang lebih besar bakal dilakukan pada edisi penganjuran PFPP tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan sambutan Jubli Perak Putrajaya.

“Tahun depan PPj akan menyediakan format yang berlainan iaitu kegemilangan Putrajaya sepanjang 25 tahun untuk dirakamkan dalam bentuk fotografi,’’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah PFPP 2019 di sini baru-baru ini.

Aminuddin berkata, PPj juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mempromosikan imej-imej Putrajaya dalam produk pelancongan yang disediakan pihak kementerian berkenaan.

Terdahulu Aminuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang PFPP 2019 yang menyaksikan Lew Kim Seong dari Seri Kembangan, Serdang muncul pemenang pertama kategori Taman-Taman Putrajaya (terbuka) dengan gambar burung-burung beristirehat pada tiang-tiang lampu Taman Wetland.

Kategori Acara, Sukan dan Rekreasi pula dimenangi Chen Chit Chuang.

Afiq Sharkawi dari Bandar Saujana Putra dan Nur Fatin Nabilah Maturuni dari Dengkil, Selangor memenangi kategori pelajar sekolah.

PFPP 2019 yang berlangsung pada 1 Jun hingga 15 September lalu mendapat 1,117 penyertaan dengan johan membawa hadiah wang tunai RM4,000, RM2,000 (naib johan) dan ketiga (RM1,000) manakala lima pemenang saguhati masing-masing menerima hadiah RM200.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas