Berita

Tarikan Borneo Art Festival 2019

BAKHTIAR (lima dari kanan) bergambar bersama dengan pemenang BAF 2019 di Kompleks Pusat Kewangan Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 7:09 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Borneo Art Festival (BAF) 2019 yang memasuki edisi kelapan mencatatkan kehadiran seramai lebih 20,000 pengunjung sekali gus menjadikan penganjuran yang sangat berjaya dan signifikan kepada Labuan kerana ia me­meriahkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussin berkata, pihaknya telah melakukan promosi dan membuat liputan lebih luas untuk menarik lebih ramai pelancong menyaksikan festival ini.

“Festival ini merupakan satu program berskala besar kerana ia melibatkan Borneo dan apabila Labuan menganjurkan festival ini, ia sudah pasti dapat menarik pelancong.

“Bagi menarik pelancong untuk mengenali Labuan, kami fokus kepada pelancong dari Korea, Jepun, China dan Eropah yang lebih meminati nilai seni keunikan, budaya serta kraf tangan Borneo,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kata Amir, pihaknya berharap lebih banyak peruntukan dapat disalur pada masa hadapan supaya usaha mempromosikan festival ini boleh dilakukan lebih baik untuk menarik lebih ramai penyertaan peserta dari Borneo.

“Dengan bantuan kewa­ngan mencukupi, ia dapat menarik peserta dari ASEAN serta dapat membuat persedian lebih awal dan menjadikan Borneo Art Festival sebagai salah satu produk utama Tahun Melawat Malaysia bagi peringkat Labuan,” katanya.

Tambah Amir, dalam usaha untuk mempromosikan Labuan sebagai sebuah pulau yang perlu dikunjungi, pelbagai inisiatif telah diambil melibatkan semua pihak amat dialu-alukan.

“Labuan yang telah di­kenali sebagai status pulau bebas cukai dan pusat kewangan pesisir harus diambil serius oleh semua pihak agar dapat membangunkan kembali sosio ekonomi penduduk di sini selain membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Bakhtiar Wan Chik dalam ucapan perasmi­an penutup Majlis Asperiasasi BAF 2019 berkata, penganjuran program tersebut disifatkan berjaya hasil kerja­sama semua pihak.

“Komitmen yang ditunjuk­kan oleh semua pihak perlu diteruskan agar Tahun Me­lawat Malaysia 2020 yang bakal disambut kurang dari tiga bulan ini dapat di­realisasikan kerana kerajaan menyasarkan kemasukan sebanyak 30 juta pelancong,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas