Berita

380 ‘mangsa’ kebakaran selamat

PASUKAN ERT FPL memberi rawatan awal kepada 'mangsa' yang mengalami patah kaki dalam Latihan Keselamatan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan di FPL baru-baru ini.
PASUKAN ERT FPL memberi rawatan awal kepada 'mangsa' yang mengalami patah kaki dalam Latihan Keselamatan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan di FPL baru-baru ini.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:58 AM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS
dan AZARAL HAMID

LABUAN – Seramai 380 pe­ngunjung dan penyewa premis di Financial Park Labuan (FPL) berjaya ‘diselamatkan’ dalam insiden kebakaran di tingkat satu bangunan terbabit baru-bari ini.

Sebaik Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) FPL mengesan berlakunya kebakaran tersebut pada kira-kira jam 9.42 pagi, maklumat berkenaan berjaya disalurkan kepada Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Labuan dalam tempoh seminit.

Dalam masa sama Emergency Respon Team (ERT) FPL telah digerakkan untuk mengesan dan mengawal kebakaran sebelum dua minit kemudian sebuah jentera bomba dengan enam orang anggota tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 10 minit.

Pasukan ERT FPL dan anggota bomba turut berjaya mengeluarkan seorang mangsa yang mengalami patah kaki semasa dalam usaha untuk keluar dari kawasan kebakaran. Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

Kerja-kerja menyelamat tersebut merupakan sebahagian daripada proses Latihan Keselamatan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan di FPL.

Menurut Pengurus Besar FPL, Subramaniam Muniandy, proses pengungsian bangunan juga berjalan lancar apabila FPL hanya mengambil masa 10 minit untuk membawa seramai kira-kira 380 pengunjung dan penyewa premis FPL keluar ke kawasan berhimpun dengan selamat.

Katanya, keseluruhan operasi tamat dan bangunan disahkan selamat untuk dimasuki semula pada kira-kira pukul 10.05 pagi.

“Latihan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam dan para penyewa mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dalam situasi kecemasan seperti kebakaran.

“Latihan ini kita jalankan dua kali setahun dan ini adalah yang pertama untuk tahun ini,’’ katanya.

Jelas beliau, kesedaran yang baik dalam kalangan orang ramai dan penyewa dapat mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini seperti kehilangan nyawa dan harta benda.

“Kita juga ingin menguji kesiapsiagaan SPKA FPL, kecekapan ERT FPL dan meningkatkan koordinasi bersama agensi lain ketika menghadapi situasi kecemasan,’’ katanya.

Seramai 50 kakitangan FPL menjayakan latihan itu selain dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dan Jabatan Kesihatan Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas