Berita

90 peratus kakitangan Malaysia Airports di KLIA telah divaksinasi

PEMBUKAAN PPV KLIA memudahkan proses pemberian vaksin kakitangan dan pekerja di lapangan terbang itu dilakukan. Kredit foto oleh: UTUSAN/ Faisol Mustafa PEMBUKAAN PPV KLIA memudahkan proses pemberian vaksin kakitangan dan pekerja di lapangan terbang itu dilakukan. Kredit foto oleh: UTUSAN/ Faisol Mustafa
- Diterbit 13 Julai 2021 12:18 PM MYT

KIRA-KIRA 90 peratus petugas Malaysia Airports di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) telah divaksinasi sejak pembukaan pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) KLIA pada 5 Julai lepas.

Menurut Malaysia Airports dalam satu kenyataan hari ini, lebih 80 peratus atau kira-kira 8,500 kakitangannya di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Pengendali lapangan terbang itu menyatakan usaha berterusan juga sedang dijalankan bagi melaksanakan vaksinasi kepada komuniti KLIA yang terdiri daripada pekerja agensi kerajaan, syarikat penerbangan, kargo serta perkhidmatan pembersihan.

Pengerusi Malaysia Airports Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan itu berkata inisiatif pembukaan PPVIN KLIA itu diambil kerana lapangan terbang kekal beroperasi seperti biasa walaupun sempadan negara masih ditutup selain keselamatan komuniti lapangan terbang menjadi keutamaan.

“Pelaksanaan inisiatif ini penting dalam usaha memastikan operasi lapangan terbang tidak terjejas,” katanya.

PPVIN KLIA adalah hasil usaha sama Malaysia Airports, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Protect Health, Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) dan Persatuan Syarikat Pengangkut Fret Udara Malaysia (AFAM).

Zambry berkata kira-kira 22,000 pekerja sektor penerbangan dan berkaitan di KLIA yang layak dijangka menerima vaksinasi hingga akhir September ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas