Berita

Yayasan Ragad bantu 250 warga Wangsa Maju

LILA Ruzaini (baju hitam) menyerahkan pek sumbangan barang basah kepada salah seorang penduduk Wangsa Maju. Turut kelihatan, Noor Aieni dan Riffai (kiri).
- Diterbit 13 Julai 2021 1:13 PM MYT

PRIHATIN dengan nasib penduduk terjejas akibat penularan pandemik COVID-19, telah mendorong Yayasan Ragad tampil menghulur bantuan untuk  250 penduduk dalam kelompok B40 di sekitar Wangsa Maju, hari ini.

Sumbangan barang basah berupa daging, ayam dan ikan itu disampaikan oleh Pengarah Program dan Kempen Yayasan Ragad, Lila Ruzaini Hussain kepada penduduk terpilih dan serba memerlukan dengan setiap penerima layak mendapat bantuan satu kilogram sama ada daging, ayam atau pun ikan yang disediakan.

Menurut Lila, walaupun YAYASAN Ragad berpusat di Sarawak, namun misi bantuan dilaksanakan itu meliputi seluruh negara seperti mana yang telah dihasratkan Penaungnya, Toh Puan Ragad Kurdi Taib yang mahu bantuan segera dihulur kepada penduduk memerlukan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Sumbangan bantuan ini berjalan lancar dengan kerjasama erat sukarelawan selain badan politik terutama Ketua Wanita UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Noor Aieni Mohd Ali yang turut sama mengenal pasti para penerima.

“Semoga dengan sumbangan diberikan ini dapat memberi sedikit kegembiraan untuk penduduk yang mungkin berdepan kesukaran kewangan akibat daripada pandemik COVID-19 yang telah memaksa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD di beberapa lokasi di Kuala Lumpur ini,” katanya.

Lila Ruzaini yang turut ditemani Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ragad, Datuk Riffai Husein meluangkan masa kira-kira dua jam bagi menyerahkan semua 250 pek sumbangan barang basah yang setiap satu dianggar bernilai RM50, bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas