Berita

Paip pecah bersebelahan Lebuhraya Besraya di Sungai Besi, siap dibaiki – Air Selangor

- Diterbit 25 Jun 2020 4:19 AM MYT

KERJA-KERJA membaiki paip yang pecah bersebelahan Lebuhraya Besraya, berhampiran kawasan pembinaan kondominium Kenwingston Avenue, Sungai Besi telah siap dibaiki lebih awal daripada yang dijadual, pada pukul 3.00 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri, dalam satu kenyataan hari ini berkata, bekalan air sedang diagihkan ke Kampung Malaysia, Desa Petaling, Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan di kawasan Petaling.

“Bekalan air dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya ke kawasan yang terlibat selewat-lewatnya 8.00 pagi ini.

“Bagi kawasan yang masih dalam proses pemulihan, bantuan menerusi tangki air bergerak masih dijalankan. Pengguna dinasihat agar gunakan air dengan lebih berhemah,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor akan terus mengemas kini status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman web rasminya www.airselangor.com.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas