827 pesakit Covid-19 berjaya pulih, kematian catat kes ke-53
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

827 pesakit Covid-19 berjaya pulih, kematian catat kes ke-53

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 terus meningkat dengan jumlah keseluruhan mencecah 3,333 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama, pesakit yang disahkan sembuh dan dibenarkan hospital juga meningkat dengan 827 kes keseluruhan.

“Hari ini, 217 kes baharu dikesan. Sebanyak 58 daripadanya adalah pesakit dari kluster tabligh Masjid Jamek Seri Petaling dan 41 adalah pelajar madrasah tahfiz di Selangor.

“Rekod juga mendapati 108 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi dan 54 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiga kematian baharu juga direkodkan sepanjang petang semalam hingga pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan kematian 53 kes.

“Mangsa ke-51 iaitu perempuan berusia 84 tahun yang disahkan meninggal dunia semalam di Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa ke-52 dan 53, masing-masing lelaki berusia 52 dan 73 tahun, disahkan meninggal dunia pagi tadi pukul 7.55 pagi dan 9.30 pagi,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES