Berita

Jawatankuasa profesional kaji pembangunan semula Kampung Baru

ANNUAR menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan (tengah) ketika melakukan lawatan kerja ke pejabat perbadanan itu di Kampung Baru hari ini.
- Diterbit 3 April 2020 10:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa profesional bagi mengkaji pembangunan semula Kampung Baru.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatankuasa itu akan terdiri daripada golongan pakar di dalam bidang pembangunan dan perundangan.

“Jawatankuasa itu akan mengkaji masalah-masalah besar berbangkit dan yang tidak dikongsi dengan orang ramai berhubung cadangan pembangunan itu.

“Ia juga termasuk hanya 61 peratus pemilik dan pewaris yang bersetuju dengan cara yang dicadangkan itu manakala hampir 40 peratus tidak memberikan persetujuan berkenaan cadangan pembangunan semula Kampung Baru” katanya dalam sesi Live di Facebooknya selepas melakukan lawatan kerja ke Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) hari ini.

Annuar berkata, antara masalah yang paling besar adalah siapakah yang akan memajukan Kampung Baru.

“Setakat ini tidak ada sebarang peruntukan yang sangat besar untuk membeli tanah-tanah itu kalaupun semua pemilik dan pewaris bersetuju,”

“Perkara itu (membeli) memerlukan perbelanjaan kira-kira RM7 bilion dan buat masa ini belum diputuskan lagi,” katanya.

Jelas Annuar, terdapat banyak perkara yang belum diperincikan lagi dan beliau akan mendengar lebih banyak pandangan berkenaan perkara itu.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas