Berita

Elaun jurulatih, atlet MSWP diteruskan

ANNUAR mengadakan lawatan ke Pejabat MSWP di Putrajaya semalam. Hadir sama Timbalannya, Dato' Sri Dr. Santhara (kiri); Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar (dua dari kanan) dan Pengarah MSWP, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri
- Diterbit 3 April 2020 10:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Elaun latihan kepada jurulatih dan atlet di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi bulan Mac dan April 2020 diteruskan seperti biasa.

Pembayaran tersebut adalah atas rasa keprihatinan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) terhadap atlet dan jurulatih yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa bersetuju meminta MSWP membayar elaun jurulatih dan atlet seperti biasa.

“KWP melalui Inisiatif Wilayah Cakna telah mempertimbangkan dan memutuskan agar pembayaran elaun latihan secara penuh kepada atlet dan jurulatih diteruskan sepanjang tempoh PKP.

“Pembayaran elaun berkenaan merupakan tanda keprihatinan KWP terhadap kebajikan jurulatih dan atlet bagi ketiga-tiga Wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” ujar beliau.

ANNUAR mendengar taklimat pada lawatan ke Pejabat MSWP di Putrajaya semalam. Hadir sama timbalannya, Dato’ Sri Dr. Santhara (kiri).

Tambah beliau, kos pembayaran elaun sebanyak RM600, 000 bagi bulan Mac dan April 2020 sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran seramai 700 orang atlet dan 103 orang jurulatih di bawah MSWP.

“Diharapkan juga pembayaran elaun ini dapat mengekalkan motivasi jurulatih dan atlet untuk cemerlang di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Johor kelak,” kata Annuar.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh PKP, program latihan berterusan turut disediakan oleh jurulatih manakala pemantauan dilaksanakan menggunakan kaedah pelaporan secara video. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas