Berita

8,000 unit perumahan Residensi MADANI akan dibina di KL sekitar Jun

- Diterbit 18 Mac 2024 9:15 AM MYT

SEBANYAK 8,000 unit rumah Residensi MADANI akan dibina sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekitar Jun tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Menurut Zaliha, kediaman tersebut akan ditawarkan pada harga mampu milik sekitar RM200,000.

“Pihak kami merancang untuk membangunkan sebanyak 8,000 unit Rumah Residensi MADANI di sekitar Kuala Lumpur sekitar Jun tahun ini.

“Harganya pula sekitar RM200,000. Konsepnya sama seperti di Putrajaya cuma di Putrajaya ada Residensi Wilayah, tetapi di Kuala Lumpur hanya ada Residensi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media pada Program Teh Hijau Kuala Lumpur edisi Mac 2024 di Pekarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Turut hadir dalam program sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Afdlin Shauki Aksan.

Dalam pada itu, bersempena dengan bulan Ramadan, program tersebut dengan tema ‘Syukuri Ramadan’ akan menampilkan kelainan dengan sebanyak 37 periuk bubur lambuk dan 37 kawah cendol dimasak kemudian diagihkan kepada orang ramai.

Ia melibatkan kerjasama dengan Persatuan Mencegah Dadah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PEMADAM), komuniti dari seluruh kawasan Parlimen Kuala Lumpur serta warga kerja DBKL dengan penglibatan 1,000 peserta. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas