Berita

80 penjaja terima surat tawaran

ANTARA penjaja yang menerima surat tawaran permit sementara.
- Diterbit 2 Julai 2020 6:12 AM MYT

SEBANYAK 80 penjaja di Setapak Indah menerima surat tawaran permit sementara waktu terhad Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL dalam satu kenyataan memberitahu permit tersebut dikeluarkan selepas kesemua permohonan memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Sehingga kini sebanyak 97 permohonan telah diterima untuk penjaja di Setapak Indah dan 80 permohonan yang lengkap dan telah memenuhi syarat yang ditetapkan telah dikeluarkan surat tawaran.

“Taklimat telah diberikan kepada penjaja-penjaja di Setapak Indah pada 1 Julai 2020 di Pusat Komuniti Gombak Setia melibatkan 100 penjaja di Parlimen Wangsa Maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, DBKL menyatakan beberapa syarat-syarat perlu dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung sepanjang pembukaan perniagaan permit sementara waktu terhad ini.

Semua permohonan baharu perlu melalui Pejabat Cawangan DBKL yang berhampiran mereka dengan mengisi borang permohonan yang disediakan. Bagi pusat bandar, mereka perlu menghantar permohonan ke Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan di Menara DBKL 2. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas