Berita

Bersihkan Kuala Lumpur daripada iklan haram

IKLAN pinjaman wang kembali mencemar pemandangan di Kuala
- Diterbit 2 Julai 2020 6:46 AM MYT

KEWUJUDAN iklan haram khususnya pinjaman kewangan Ahlong semakin berleluasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan.

Lambakan iklan itu disedari komuniti tempatan yang bimbang imej Kuala Lumpur
sebagai ibu negara dan pusat tumpuan dunia tercalar disebabkan iklan-iklan haram
itu.

Berikutan itu, seorang warga kota yang prihatin membuat aduan kepada PERTIWI
(Talian Pertanyaan dan Aduan Kepada Menteri Wilayah Persekutuan) tentang lambakan iklan haram di sekitar komunitinya di Cheras.

Menurutnya yang ingin dikenali sebagai Lokman, lambakan iklan haram yang  ditampal di merata-rata tempat termasuk pintu premis kosong itu akan menjadikan Kuala Lumpur kelihatan jelik dan kotor.

Memetik Persimpangan Jalan Cheras dan Shamelin sebagai contoh, ujarnya, iklan haram turut ditampal di dinding jejambat dan papan tanda arah.

“Banyak banner dan iklaniklan haram dipasang di sekitar Kuala Lumpur tanpa tindakan sepenuhnya daripada penguatkuasa.

“Mungkin Menteri Wilayah Persekutuan dapat memberi perhatian ke atas aduan-aduan sebegini supaya imej Kuala Lumpur cantik dan bersih,” katanya.

Baru-baru ini, Wilayahku turut melaporkan ramai peniaga terjerat Ahlong kerana gagal menjana pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Ujar Lokman, sepanjang tempoh PKP, nama Malaysia antara yang disebut dunia selain menjadi negara contoh dalam mendepani cabaran wabak Covid-19.

Justeru, tambahnya, kemegahan serta imej yang baik itu tidak seharusnya dicalar dan dirosakkan dengan perkara tidak bermoral atau ‘hiasan’ kotor.

Ia disebabkan terdapat banyak iklan-iklan haram berkenaan tawaran kewangan
komuniti yang mudah diperoleh, ditampal di sekitar papan tanda laluan dan pintu premis kosong sehingga menarik perhatian golongan peniaga.

Dalam pada itu, PERTIWI memaklumkan, aduan berkenaan telah diambil maklum dan dipanjangkan ke agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas