Berita

Operasi DBKL berterusan – Annuar

PREMIS gunting rambut di Taman Midah, Cheras disita dalam satu
- Diterbit 2 Julai 2020 5:30 AM MYT

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menjalankan operasi sita terhadap lebih 200 premis perniagaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, tindakan diambil berikutan masih ada PATI yang menjalankan perniagaan di sekitar pasar borong berkenaan.

“Ada (PATI berniaga di sekitar pasar borong) namun melalui penguatkuasaan, hampir 200 premis disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Sehingga kini memang ada lagi PATI di sekitar pasar borong menjalankan aktiviti tetapi di dalam (pasar borong) tiada. Saya sudah beritahu Datuk Bandar pastikan penguatkuasaan adalah konsisten,” katanya baru-baru ini.

Annuar memberitahu bahawa pihaknya berusaha untuk memastikan majikan tidak
mengambil PATI bekerja dengan memperkenalkan penggunaan mesin berteknologi
tinggi ketika operasi di pasar borong tersebut.

“Tetapi masih ada lagi tauke nak guna cara lama dan apabila kita nak  memperkenalkan beberapa peralatan dan mesin, mereka teragak-agak namun kita mahu mereka menggunakan teknologi ini,” katanya.

Sementara itu, pada Selasa DBKL menyita satu kedai jahit milik warga asing di Jalan 27/56, Setiawangsa.

“Premis tersebut ditutup serta merta (sealed) dan sitaan di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” kata DBKL dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu juga turut mengambil tindakan ke atas penjaja
air balang warga Indonesia di hadapan flat Sri Penara, Jalan Permaisuri 1, Cheras dan penjaja nasi campur di hadapan flat yang sama.

Selain itu, DBKL menyita Kedai Gunting Rambut Faruk Global yang terletak di Jalan Midah Timur, Taman Midah, Cheras yang dimiliki warga asing di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Sek. 191(1)(v).

Orang ramai diminta melaporkan sebarang premis perniagaan yang dikendalikan
oleh warga asing di kawasan mereka kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran kawasan perumahan mereka.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas