Berita

Pusat pelancongan Souq Shoppe, Putrajaya dinaik taraf

SHAHIDAN (tiga kiri) turut membeli coklat yang terdapat di Souq Shoppe ketika tinjauannya ke pusat coklat itu. SHAHIDAN (tiga kiri) turut membeli coklat yang terdapat di Souq Shoppe ketika tinjauannya ke premis berkenaan petang tadi.
- Diterbit 19 November 2021 11:23 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) sedang melaksanakan inisiatif untuk memeriahkan lagi kawasan perniagaan di Dataran Putra, Presint 1 agar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini lebih kondusif, vibrant dan berupaya menarik pelawat dan pelancong ke Putrajaya.

Hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turun padang meninjau pusat penjualan coklat di Souq Shoppe @ Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya.

“Pusat coklat ini merupakan tarikan baru di Putrajaya dan menjadi destinasi ‘mesti’ singgah kepada semua para pengunjung sejak pusat ini beroperasi pada awal Oktober lalu,” katanya selepas meninjau pusat coklat Putrajaya, petang tadi.

Pembangunan semula kawasan Dataran Putra merupakan projek inisiatif kerjasama strategik dengan pihak swasta (Private Finance Initiative (PFI)) dalam usaha PPj memperkasakan pembangunan ekonomi di Putrajaya.

“Ia melibatkan pembangunan ruang niaga Souq dan ruang niaga makanan dan minuman di Selera Putra yang kini dalam proses kerja-kerja pembaikan.

“Pembaikan kawasan souq terbahagi kepada dua komponen di mana komponen pertama adalah pengoperasian Souq Shoppe @ Dataran Putra sebagai pusat jualan coklat dan wangian terbesar di Lembah Klang setaraf dengan Langkawi dan KLIA,” jelas kenyataan tersebut.

Menurutnya, fasa kedua pembangunan Souq Shoppe@ Dataran Putra adalah pembinaan Galeri Muzium Interpretatif yang kini sedang dibangunkan oleh DR Group Holdings Sdn Bhd dan dijangka siap pada tahun 2022.

“Ia akan menonjolkan pameran interaktif keunikan Putrajaya seperti fotografi panaroma Putrajaya, senibina bangunan ikonik, jambatan , 3D Art Wall, diorama tasik dan cruise, Floria Tunnel, Bird Watching Area, Water Sport Activities dan Hot Air Balloon serta galeri mengenai tokoh-tokoh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan memberitahu beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya termasuklah di Pasar Awam bagi mengurangkan bebanan yang dialami.

“Kami telah menghulurkan beberapa bantuan seperti sumbangan one-off RM500 kepada peniaga kecil di Putrajaya pada bulan Mac 2020, Pengecualian Sewaan Premis PPj 100 peratus selama sembilan bulan tahun lalu serta pengurangan 50 peratus sewaan premis bermula Januari hingga Disember tahun ini.

“Selain itu, kami juga turut memberi pengecualian sewaan tapak kepada penjaja kecil sementara di bawah Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga pada tahun 2020 hingga kini dan pengecualian fi lesen bagi penjaja kecil di Putrajaya,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas