Berita

6 kawasan Parlimen di WP dalam Zon Merah

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 10 April 2020 9:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan enam kawasan Zon Merah jangkitan Covid-19 mengikut persempadanan kawasan Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, kawasan Parlimen yang terlibat adalah Seputeh, Bukit Bintang, Segambut, Putrajaya, Titiwangsa dan Bandar Tun Razak.

“Ini bermakna, separuh daripada 12 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan telah diklafikasikan sebagai kawasan Zon Merah,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Siaran langsung itu juga dipancarkan di laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP) berkata, sehingga semalam, di kawasan Jalan Masjid India telah berlaku penambahan kes yang banyak.

“Selangor Mansion dan Malayan Mansion telah mencatatkan 49 kes positif Covid-19 manakala di Menara City One telah mencatatkan 30 kes.

“Sebanyak 79 kes di kawasan itu dalam satu lokaliti yang kecil, seharusnya kita berasa bimbang dengan situasi itu,” katanya.

Annuar memberitahu, beliau juga berkesempatan menemui wakil-wakil kedutaan Pakistan, Bangladesh dan India selain wakil Wisma Putra.

“Pertemuan itu diadakan bagi memberikan maklumat terkini berkenaan angka-angka (pesakit) untuk kedutaan masing-masing.

“Selain itu, saya menyampaikan beberapa permasalahan yang kita hadapi untuk mereka memberikan apa-apa kerjasama atau bantuan kepada warga mereka,” katanya.

Tambah Annuar, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, JKKNWP telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan keadaan penghuni di lokaliti Jalan Masjid India terbela.

“Ini termasuklah mereka diberikan makanan tiga kali sehari secara bungkusan dan ia telah bermula semalam,” .

“Pihak rumah ibadat turut akan membantu bagi membekalkan makanan kepada penghuni yang ‘vegetarian’,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas