Berita

Berkebun mampu hilangkan tekanan sepanjang PKP

Apa-apa ubat untuk Covid-19 perlu ada fakta dan melalui percubaan yang dilakukan secara luas
SUNITA (kiri) dalam siaran langsung edisi khas Covid-19.
- Diterbit 26 Mac 2020 3:28 AM MYT

KUALA LUMPUR – Semua sedia maklum tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini, bagi membolehkan rantaian wabak Covid-19 dihentikan.

Namun itu bukanlah bermakna orang ramai hanya perlu duduk bergoyang kaki tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Sunita Suhimi, berkebun di keliling rumah merupakan antara aktiviti sihat yang boleh mengurangkan tekanan sepanjang tempoh PKP.

“Bagi mereka yang mempunyai kebun di dalam kawasan rumah, anda boleh meluangkan masa untuk mengeluarkan peluh seketika untuk kekal sihat.

“Saya banyak mendapat maklum balas daripada orang ramai yang mana rata-ratanya menghabiskan masa dengan aktiviti tidur dan makan sepanjang tempoh ini. Mungkin selepas ini anda boleh menukar aktiviti kepada yang lebih berfaedah,” ujarnya dalam siaran langsung edisi khas KKM kenali Covid-19.

Pun begitu, bagi anda yang tidak mempunyai laman, anda digalakkan untuk beriadah seperti melakukan senamrobik, meregangkan otot dan sebagainya.

“Tapi pastikan tetap berada dalam kawasan rumah anda, jangan keluar,” ujar Sunita.

Menjawab persoalan orang ramai tentang khasiat daun semambu yang dikatakan boleh mengubati Covid-19, menurutnya tiada kajian yang dilakukan ke atas daun tersebut.

“Apa-apa ubat untuk Covid-19 perlu ada fakta dan melalui percubaan yang dilakukan secara luas baru boleh dipergunakan untuk mengubati penyakit tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas