Berita

660 pembeli rumah PPAM OUG rayu kerajaan campur tangan

PEMILIK rumah Platinum OUG atau dikenali Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) menggesa campur tangan kerajaan bagi menyelesaikan isu ekoran sikap pemaju yang culas menyelesaikan aduan mereka sejak memperolehi kunci pada Jun lalu.
- Diterbit 25 September 2022 12:00 AM MYT

660 pembeli rumah Residensi Platinum OUG di Bukit Jalil meng[1]gesa kerajaan campur tangan ekoran sikap culas pemaju yang dilihat tidak bersungguh-sungguh menangani masalah kerosakan yang berlaku.

UBAIDILLAH

Menurut penduduk, Muhammad Ubaidillah Baharom banyak kecacatan yang ketara antaranya cat yang tidak sekata, jubin yang berlainan warna, keretakan pada dinding yang menyebabkan kebocoran sehingga air masuk ke dalam rumah apabila hujan selain turut menerima laporan mengenai sistem pendawaian yang bermasalah.

“Kebanyakan penduduk yang merupakan penjawat awam masih menunggu untuk berpindah masuk ke rumah mereka, namun banyak ‘defect’ yang tidak diuruskan dengan baik sehingga menanggung kesusahan.

“Malah pemaju dilihat sambil lewa kerana aduan kerosakan ini tidak dibuat dengan bersungguh-sungguh sehingga pemilik terpaksa menunggu giliran yang lama disebabkan unit yang selesai dibaiki hanya di bawah 100 unit berbanding hampir 500 unit yang malaporkan defect,” katanya kepada Wilayahku Ahad lalu.

Menjelas lanjut, Muhammad Ubaidillah berkata pihaknya melihat berlaku diskriminasi terhadap pemilik Blok A memandangkan mereka merupakan penjawat awam berbanding pemaju dilihat mementingkan penduduk di Blok B.

“Sebenarnya Blok A ini merupakan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) manakala di Blok B merupakan unit bebas dan ia berkemungkinan pemaju lebih melayan aduan penduduk di situ sahaja.

“Sebaliknya kami yang telah mendapat kunci rumah pada bulan Jun lalu telah membuat aduan mengenai kecacatan kepada pemaju namun ia telah melebihi 60 hari dari tempoh yang sepatutnya dan masih belum diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Rezal Desa, sikap pemaju yang melebihkan penduduk Blok B dilihat menyusahkan penduduk Blok A apabila kebanyakan tuntutan mereka sering mendapat perhatian daripada pemaju termasuklah cuba memasang pagar selain turut bercadang membuat pondok pengawal berbeza untuk dua blok tersebut.

“Dalam perjanjian jual beli yang mengandungi peta pelan asal tidak dinyatakan bahawa dua blok itu akan dipisahkan. Malah pemaju telah pun cuba membina sebuah pondok pengawal di kawasan Blok A namun kawasan itu tidak sesuai dan boleh mengundang masalah lain kerana jalan keluar masuk yang dicadangkan agak kecil.

“Mereka juga telah memasang pagar untuk menghalang kami menggunakan taman permainan di belakang kerana ia adalah zon hijau, namun disebabkan pagar tersebut kami tidak dapat akses ke sana,” katanya.

Menurutnya, banyak kemudahan di perumahan ini tidak dibina dengan betul termasuklah keluasan surau yang kecil dan kawasan parkir motosikal yang terhad.

“Surau ini seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya sahaja dan hanya boleh memuatkan kira-kira 10 hingga 15 jemaah dalam satu-satu masa.

“Selain itu parkir untuk motosikal juga agak terhad dan ini menyebabkan kesulitan kepada penduduk. Malah kawasan parkir pelawat turut diubah suai menjadi bilik-bilik kecil dan stor serta menjadi penempatan untuk pekerja kontraktor,” katanya.

Justeru itu, katanya beliau menggesa campur tangan kerajaan supaya pemaju dapat menyelesaikan masalah dihadapi pembeli secepat mungkin.

“Kebanyakan penduduk berhadapan masalah ekoran telah keluar dari kuarters dan rumah sewa masing-masing, namun rumah mereka masih belum layak diduduki malah ada yang terpaksa menyewa di luar sehingga terbeban dengan kos.

“Kami mohon supaya perkara ini diselesaikan dan pihak kerajaan perlu campur tangan serta nasihatkan pemaju untuk selesaikan masalah ini segera,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas