Berita

59 pendatang tanpa izin didakwa masuk Malaysia secara haram

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Januari 2024 2:25 PM MYT

SERAMAI 59 pendatang asing tanpa izin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tamat tempoh pas lawatan.

Kesemua 40 lelaki dan 19 wanita yang merupakan warga Indonesia dan warga Nepal mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut kertas pertuduhan, 33 daripada mereka pada 10.30 pagi, 28 Dis lepas di kebun sawit tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Tiang Baroh, Hilir Perak sebagai seorang yang bukan merupakan warganegara Malaysia didapati telah memasuki Malaysia tanpa pas yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama dan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga disebat tidak lebih enam sebatan.

Sementara itu, 26 lagi tertuduh pada 6.30 pagi, tarikh sama di kebun sawit lorong 1, Jalan Ban Persisiran Laut Bagan Sungai Tiang, Selekoh, Hilir Perak didakwa telah tinggal di negara ini setelah tamat tempoh sah lawatan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(4) akta sama membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah Majistret menetapkan 19 Jan ini untuk sebutan semula kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 28 Dis lepas, dilaporkan cubaan 60 pendatang asing tanpa izin pulang ke negara asal menggunakan jalan laut tidak kesampaian apabila diberkas pihak berkuasa dan mereka ditahan ketika bersembunyi di kawasan kebun kelapa sawit dekat Bagan Sungai Tiang, Selekoh. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas