Berita

53 motosikal, 8 kereta hangus terbakar di PPR Gombak Setia

KEADAAN kenderaan yang rentung di tempat kejadian.
- Diterbit 6 Julai 2020 5:01 AM MYT

KIRA-KIRA 53 motosikal rentung dan lapan kereta yang diletakkan di kawasan parkir Blok 41, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Perumahan Bandaraya Gombak Setia musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II Zaid Zainal, berkata pasukan bomba tiba ke lokasi pada jam 5.15 pagi dan mendapati api ketika itu sedang marak.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 pagi menggerakkan empat jentera bersama 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Setapak ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Kebakaran membabitkan 53 motosikal dan lapan kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di kawasan perumahan terbabit.

“Pasukan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak sebelum berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 5.47 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaid memberitahu, kebakaran itu menyebabkan 53 motosikal itu musnah seratus peratus manakala lapan kereta terbakar antara 60 hingga 80 peratus

“Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -WILAYAHKU

Oleh: AZLAN ZAMBRY

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas