Berita

KWP sedia 1,122 kiosk perniagaan untuk anak muda

ANNUAR melihat pelan ROL ketika meninjau lokasi penjaja di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) petang tadi.
- Diterbit 7 Julai 2020 1:10 PM MYT

ATAS keprihatinan terhadap kurang peluang pekerjaan untuk golongan muda, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil inisiatif memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota bagi mewujudkan peluang perniagaan kepada golongan belia khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya telah mengenalpasti kira-kira 1,122 lokasi yang akan dibuka secara berperingkat-peringkat dan pemilihan usahawan akan dilakukan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk di peringkat kementerian.

“Lokasi yang ditawarkan nanti secara umumnya merupakan tempat yang strategik dan (usahawan) tidak perlu membuka perniagaan yang tidak sah atau di lokasi tidak maju.

“Kita telah kenal pasti kawasan untuk food trak, kawasan yang sesuai untuk kiosk pandu lalu dan kafe-kafe moden serta kiosk-kiosk kecil,” katanya kepada pemberita selepas membuat Lawatan Kerja Projek River Of Life (ROL) di sini hari ini.

Annuar berkata, orang ramai khususnya golongan muda, graduan yang baru menamatkan pengajian dan mereka yang hilang pekerjaan ekoran wabak Covid-19 serta berminat untuk menceburi bidang perniagaan digalakkan untuk merebut peluang tersebut.

Annuar memberitahu, orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan secara atas talian di https://usahawanwp.kwp.gov.my.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan, pihaknya tidak membenarkan usahawan yang telah mempunyai premis perniagaan di tempat lain memohon program tersebut.

“Program ini khusus untuk golongan muda dan mereka perlu diberi peluang berniaga di kota,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas