Berita

Lebih ramai atlet para negara mampu ke Olimpik

LEBIH ramai atlet para layak ke Olimpik.
- Diterbit 6 Julai 2020 4:50 AM MYT

KETUA jurulatih skuad olahraga negara, R. Jeganathan masih menaruh harapan dan mensasarkan lebih ramai lagi atlet para negara mampu layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo.

“Setakat ini, saya masih menunggu kalendar kejohanan 2021 daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang dijangka dikeluarkan pada November dan Disember ini sebelum menentukan kejohanan mana akan disertai atlet olahraga para kebangsaan.

“Sekiranya ada kejohanan domestik dibenarkan diadakan pada tahun ini tidak kira untuk atlet para mahupun normal, saya akan menghantar atlet kita sebagai medan pendedahan sebelum menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa pada awal tahun hadapan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia juga mahu anak-anak buahnya memperbaiki ranking sebelum temasya Sukan Paralimpik Tokyo berlangsung tahun depan.

Jelas Jeganathan, 6 daripada 3 atlet yang menyertai kem RTT ketika ini iaitu Siti Noor Iasah Mohd Ariffin, Siti Noor Riadah Ismail, Mohamad Alif Mohamad Awi, Muhamad Afiq Mohamad Ali, Zulkifly Abdullah dan Nasharuddin Mohd berpotensi untuk layak namun mereka perlu memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia dalam memastikan slot ke Tokyo terjamin.

“Saya meletakan sasaran tinggi kali ini. Saya tidak mahu hantar atlet hanya untuk menyertai acara tersebut. Mereka perlu sekurang-kurangnya layak beraksi di peringkat separuh akhir,” tegas Jeganathan.

Terdahulu, empat orang atlet olahraga negara sudahpun melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo yang telah ditunda penganjurannya ke tahun hadapan susulan penularan wabak Covid-19. Mereka adalah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12).

Skuad olahraga para kebangsaan baru sahaja selesai menyertai kem latihan pusat program Road To Tokyo (RTT) 2020 yang bermula sejak 8 Jun yang lalu di Bukit Jalil yang disertai 9 orang atlet olahraga para.

Kem latihan yang berakhir pasa 30 Jun yang lepas lebih memfokuskan bagi meningkatkan kekuatan otot atlet, selain latihan lasak bagi membantu atlet kembali ke prestasi terbaik. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas