Berita

52,786 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasar di Labuan

Bakul makanan sumbangan pihak kerajaan untuk diagihkan kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19. Bakul makanan sumbangan pihak kerajaan untuk diagihkan kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19.
- Diterbit 23 Oktober 2021 8:00 AM MYT

SEJUMLAH 52,786 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, jumlah kesemua bakul makanan itu adalah sumbangan daripada 90 agensi termasuklah pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, berdasarkan rekod, sehingga semalam (16 Oktober) pihaknya telah menerima sebanyak 52,786 bakul makanan.

“Sebanyak 98 peratus dari jumlah bakul makanan telah diagihkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita, pada Jumaat lalu.

Rithuan berkata, sejak Labuan beralih Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat, permohonan bakul makanan menunjukkan penurunan berbanding sebelum ini.

Permohonan terhadap bakul makanan ketika ini katanya, telah menurun kepada 50 permohonan sehari berbanding sebelum ini yang mencecah 500 permohonan dalam sehari.

“Penurunan itu amat ketara, ini kerana 95 peratus sektor ekonomi telah dibenarkan dibuka secara tidak langsung penduduk di pulau ini tidak lagi menghadapi kesulitan yang begitu teruk.

“Ini adalah satu petanda yang baik, ia menunjukkan bahawa ekonomi penduduk di Labuan semakin pulih,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas