Berita

Peniaga syukur terima bantuan YWP

- Diterbit 23 Oktober 2021 6:00 AM MYT

KEBAKARAN yang berpunca daripada litar pintas telah mengakibatkan kirakira lima buah gerai berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, Kuala Lumpur musnah sekali gus menyukarkan kehidupan peniaga terlibat yang baru sahaja memulakan perniagaan.

Salah seorang mangsa, Mohamad Zaki Ismail berkata, dia tidak menyangka perniagaan yang dijalankan di kawasan itu lebih 20 tahun lalu akan musnah sekelip
mata.

“Sejak berniaga, kami amat titik beratkan keselamatan. Namun apakan daya apabila terjadi, kami terpaksa reda dengan ketentuan.

“Kami juga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri masing-masing,” katanya. Dia ditemui Wilayahku selepas Majlis Penyerahan Bantuan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani baru-baru ini.

Menurut Mohamad Zaki, dia juga bersyukur kerana pemimpin masyarakat hadir dan turut membantu termasuklah mendapat perhatian daripada Yayasan Wilayah
Persekutuan (YWP).

“Kesedihan ini terubat sedikit dengan bantuan yang diberikan YWP. Meskipun ia tidak menyelesaikan masalah, namun saya akui ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kesedihan yang terpaksa ditanggung.

“Selain itu, ia turut menjadi bukti bahawa YWP sangat mudah menyalurkan bantuan untuk mangsa kebakaran seperti kami,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyifatkan bantuan tersebut sebagai pembuka rezeki kerana pihak baitulmal turut akan menyalurkan bantuan kecemasan kepada mereka.

“Apabila musibah ini berlaku, saya mengharapkan agar pihak kerajaan dapat membantu mendapatkan kawasan yang lebih selamat untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam
Mustakim berkata, musibah yang berlaku perlu dipandang dengan sisi yang positif meskipun telah menyebabkan lima peniaga hilang mata pencarian sekelip mata.

“Apabila berlaku musibah, kita mendapati kawasan tersebut sudah sesak dan ia menimbulkan persoalan mengenai keselamatan.

“Kami berpendapat peniaga-peniaga di situ perlu dipindahkan di kawasan yang lebih sesuai dan saya akan membawa perkara ini kepada pihak pengurusan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Kamaruzaman Mustapha berkata, bantuan yang disalurkan merupakan bantuan bencana yang diberikan secara tunai bernilai RM500.

“Biasanya kami akan berikan kepada kes-kes yang melibatkan kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR)) atau gerai peniaga kecil dan kes lain itu akan diberikan mengikut kriteria tertentu.

“Bagi lima peniaga ini, mereka layak untuk mendapat bantuan daripada kami kerana mereka peniaga kecil dan tergolong dalam kategori B40 serta wajar mendapat
bantuan dan pembelaan YWP,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas