Berita

Rumah Prihatin sediakan penginapan untuk pesakit jantung, adik Adzriel

Datuk Mohd Irwan Rizal bersama keluarga adik Adzriel yang baru tiba dari Kedah
- Diterbit 23 Oktober 2021 10:30 AM MYT

DI saat wabak COVID-19 belum reda, Rumah Prihatin @ Grand Seasons tidak jemu menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan seperti bekalan makanan atau pun keperluan asas yang lain.

Terbaru, Rumah Prihatin menyediakan penginapan buat pesakit jantung kanak-kanak, Muhammad Adzriel Fakhri Abdul Latif,3, dan keluarganya.

PENGARAH Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal bersama keluarga adik Adzriel yang baru tiba dari Kedah,kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Bilik penginapan secara percuma diberikan kepada adik Adzriel dari Kuala Ketil, Kedah, yang ke Kuala Lumpur sepanjang rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin ini .

Menurut Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, penyediaan penginapan tersebut bertujuan untuk memudahkan urusan keluarga adik Adzriel.

“Kami berbesar hati menerima kunjungan keluarga adik Adzriel dari Kedah yang akan menjalani pembedahan jantung Isnin ini.

“Diharapkan penyediaan penginapan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban mereka. Tambahan pula, lokasi Rumah Prihatin tidak begitu jauh dengan IJN,” katanya yang menyambut kehadiran keluarga adik Adzriel yang tiba di Rumah Prihatin kira-kira pukul 3 pagi tadi.

DATUK Mohd Irwan turut mengiringi keluarga adik Adzriel ke Bilik Penginapan Prihatin

Menerusi ToyBank Prihatin yang merupakan salah satu inisiatif bawah Rumah Prihatin, Mohd Irwan turut menyerahkan sumbangan alat permainan kepada adik Adzriel.

Rumah Prihatin yang diasaskan oleh  Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar  Musa merupakan satu-satunya hotel kebajikan pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan Bilik Penginapan Prihatin, Jejak Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Food Bank Prihatin, Dapur Prihatin dan ToyBank Prihatin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas