Berita

50,000 topeng muka dibeli demi keselamatan petugas barisan hadapan

ANNUAR (kiri) menyerahkan topeng muka kepada petugas Angkatan Tentera Malaysia di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur petang tadi. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 24 Mac 2020 2:27 PM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kira-kira 50,000 topeng muka untuk petugas barisan hadapan demi keselamatan mereka ketika menjalankan tugas dalam mengekang penularan Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, beliau telah mengarahkan DBKL membeli topeng muka itu serta-merta untuk diedar kepada petugas tersebut.

“Saya mahu petugas barisan hadapan dibekal ‘mask’ secukupnya. (Pukul) 5.30 petang (semalam) bekalan sampai di Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKN WP),” katanya dalam Twitternya.

Dalam pada itu, petang tadi Annuar menyerahkan sumbangan topeng muka berkenaan kepada petugas barisan hadapan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia Penguatkuasa DBKL, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan petugas Kementerian Kesihatan di Pejabat Penguatkuasaan DBKL, Jalan Tun Razak di sini.

Terdahulu dalam sidang akhbarnya yang disiar secara langsung melalui laman Facebook beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku, Annuar berkata, keutamaan pengagihan topeng muka diberikan kepada petugas barisan hadapan dan kemudian kepada orang ramai.

Sementara itu, kata beliau, terdapat beberapa kekeliruan yang wujud, antaranya adalah notis perintah dikeluarkan pihak DBKL yang perlu memakai mask untuk memasuki pasar raya telah disalah tafsir.

“Sebenarnya tidak ada arahan sebegitu, arahan memakai mask adalah hanya wajib kepada petugas front line, petugas kesihatan, pesakit yang positif dan bagi mereka yang tidak sihat.

“Bagi orang awam nak pakai boleh, tak pakai pun boleh.  Hal ini kerana bekalan mungkin tak cukup untuk petugas front liner nanti,” katanya.

Katanya, ada juga aduan yang mengatakan polis menahan seorang penguna jalan raya dan bertanyakan mengapa tidak memakai topeng muka.

“Untuk makluman, penguna dalam kereta tak perlu pakai topeng muka,” jelas beliau.

Katanya, pada masa ini terdapat 5,000 petugas di Wilayah Persekutuan dan pihak DBKL juga ada membuat penambahan petugas dan pegawai bagi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam pada itu, semua sumbangan bantuan untuk kegunaan petugas boleh dihantar ke Pusat Pengurusan Krisis (CMC) yang ditubuhkan JKKKN WP.

Tambahnya, DBKL juga membuat penambahan tandas bergerak bagi menampung keperluan petugas.

“Saya mohon semua petugas agar dapat bersabar bagi menjayakan operasi yang sangat penting ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas