Berita

5,000 peserta bakal sertai Larian Wilayahku 2020

Larian Wilayahku 2020
- Diterbit 7 Februari 2020 8:21 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 peserta bakal meriahkan Larian Wilayahku 2020 di Jalan Raja, Dataran Merdeka di sini pada 9 Februari ini.

Presiden Kelab Rekreasi Dan Kecergasan Wilayah Perdana (KRKWP), Azrol Nizam Razlan berkata, acara larian 7 kilometer yang berkonsepkan kekeluargaan itu sudah mendapat 5,000 penyertaan dari penduduk di sekitar ibu negara dan Lembah Klang.

Ujarnya, program yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada warga kota untuk sama-
sama meraikan ‘hari penubuhan’ Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, ia juga secara tidak langsung akan meningkatkan rasa kecintaan serta keprihatinan mereka tehadap bandar raya Kuala Lumpur yang merupakan nadi kepada pembangunan negara.

“Setakat hari ini, pihak penganjur menerima 5,000 penyertaan secara atas talian sejak ia dibuka Disember 2019 yang lalu. Penyertaan kali ini amat memberangsangkan.

“Larian Wilayahku 2020 terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan programnya akan disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Azrol Nizam, pada program itu juga, setiap peserta yang mendaftar layak menerima baju-T acara dan pingat selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang akan diumumkan pada penghujung acara nanti.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti zumba, pameran dan jualan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penganjuran tersebut juga disebabkan kejayaan cemerlang KRKWP dalam penganjuran Larian Wilayahku pada tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas