Berita

Kewujudan Geopark bakal jadikan Labuan setanding Langkawi

MUHAMMAD BAKHTIAR (kanan) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran pada Majlis Pelancaran Best Of Labuan Packages dan Labuan Aspiring Geopark serta Makan Malam Kejohanan Bola Jaring MAKSAK Kebangsaan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan.
- Diterbit 8 Februari 2020 3:30 PM MYT

LABUAN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempunyai visi untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan terkenal sebagaimana Langkawi, Kedah.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, impian tersebut bakal menjadi kenyataan apabila sebanyak enam tapak Taman Geologi (Geopark) telah berjaya dikenal pasti di pulau ini.

“Impian tersebut bakal menjadi kenyataan memandangkan Labuan mempunyai ciri yang sama dengan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Best of Labuan Packages, Labuan Aspiring Geopark dan Makan Malam Kejohanan Bola Jaring Majlis Kebangsaan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) di Ujana Kewangan di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman yang juga Yang Dipertua MAKSAK Labuan.

Pada majlis itu, Shahruddin turut menyempurnakan perasmian Pertandingan Mencipta Logo dan Maskot Aspiring Geopark Labuan.

Muhammad Bakhtiar berkata, kementeriannya komited untuk memberikan fokus kepada sektor pelancongan di Labuan termasuk mahu memastikan penyambungan penerbangan ke pulau ini dapat ditingkatkan.

Dalam hal ini, beliau mengucapkan syabas kepada Perbadanan Labuan dan Tourism Malaysia di atas usaha kolaboratif dalam mengetengahkan produk-produk pelancongan di Labuan.

“Ini merupakan satu usaha yang amat membanggakan dan merupakan petanda positif bahawa Labuan mampu untuk bertanding dengan pulau-pulau terkenal yang lain di Malaysia.

“Inisiatif seperti ini juga amat bertepatan dengan kempen Visit Malaysia 2020 bagi memperkenalkan destinasi pelancongan alternatif atau second-tier destinations di seluruh negara dengan tarikan hidden gems yang masih kurang dikenali ramai,” jelasnya.

Walaupun berkeluasan hanya 92 kilometer persegi, beliau berkata, Labuan mampu menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong dan pulau peranginan yang wajib dikunjungi di Malaysia.

Katanya, selain terkenal sebagai destinasi syurga selam skuba (wreck dive), Labuan memiliki keindahan alam semula jadi, pulau yang indah, udara bersih, persekitaran tenang dan
mendamaikan, pemandangan matahari terbenam mengagumkan serta kekayaan hasil sejarah dan tapak geologi yang mempunyai nilai warisan yang tinggi.

“Saya difahamkan pada tahun ini sahaja, Labuan bakal menganjurkan lebih daripada 100 acara menarik termasuklah penganjuran acara berprestij di peringkat antarabangsa.

“Daripada lebih 100 acara yang telah disusun bagi memeriahkan tahun 2020, terdapat lima signature events di Labuan yang turut tersenarai di dalam kalendar pelancongan Malaysia antaranya Labuan International Sea Challenge (LISC) pada 26-28 Jun ini,” katanya.

Muhammad Bakhtiar berkata, semua produk dan acara pelancongan ini menjadikan Labuan begitu istimewa dan berpotensi untuk dikenali sebagai permata Borneo yang belum terusik dengan pelbagai hidden gems untuk diterokai.

Katanya, melalui usaha terkini Perbadanan Labuan dalam pembangunan risalah ‘Best of Labuan Holiday Packages 2020’ ini, bukan sahaja dapat membantu memasarkan pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi pelancongan di Labuan, malah ia dapat menggalakkan pelancong domestik untuk merancang percutian sepanjang tahun.

“Usaha seperti ini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dalam industri pelancongan negara di samping membantu menjana pendapatan bagi pengusaha produk pelancongan di Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas