Berita

50 sertai kempen kebersihan Sempena Perayaan Thaipusam 2020

NOR HAYATI (tengah) bersama orang ramai serta sukarelawan 'Green Thaipusam 2020' di Leboh Ampang malam tadi.
- Diterbit 7 Februari 2020 9:49 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 50 peserta yang terdiri daripada lima organisasi mengambil inisiatif mengadakan kempen ‘Green Thaipusam’ sempena perarakan perayaan itu malam tadi.

Menurut Pegawai Kawalan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Nor Hayati Md. Said, pihak DBKL melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar turut berkolaborasi dengan SWCorp, Alam Flora Sdn. Bhd., Global Environment Centre (GEC) dan ERE Consulting Group Sdn. Bhd.

“Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia khususnya warga kota mengurangkan pembaziran sumber makanan terutama ketika sambutan hari perayaan.

“Ia juga merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengurangkan sisa sampah terutama sisa hasil pembungkusan makanan serta sisa organik seperti bunga dan sisa makanan dengan mengamalkan pengurusan terbaik semasa perayaan ini,” katanya kepada Wilayahku.

Nor Hayati memberitahu, penganjuran itu juga dilaksanakan di beberapa kawasan yang menjadi laluan utama perarakan Thaipusam.

Hotspot ini merupakan laluan yang digunakan penganut Hindu dalam perarakan mereka menuju ke Batu Caves. Mereka akan melalui Jalan Munshi Abdullah dan kemudian melalui Jalan Leboh Ampang manakala yang terakhir adalah di Jalan Ipoh.

“Sebanyak empat tong Roll On Roll Off (RORO) berkapasiti lima tan setiap satu diletakkan di dua lokasi iaitu Leboh Ampang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mun Choong, Batu 5, Jalan Ipoh. Aktiviti dijalankan memandangkan janaan sisa kelapa yang terhasil semasa festival ini dianggarkan sebanyak 50 tan dan kos pembersihan yang ditanggung pihak Alam Flora untuk perayaan tahun ini adalah kira-kira RM60 ribu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas