Berita

50 pesakit kanak-kanak ceria terima sumbangan

ZAITUN (dua kanan) diiringi Zaizalnizam beramah mesra dengan pesakit sambil menyerahkan hamper dan sumbangan.
- Diterbit 7 Februari 2020 9:24 AM MYT

LABUAN – Lawatan muhibah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diketuai isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaitun Abu Bakar ke Wad Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Labuan di sini ternyata membawa keceriaan kepada pesakit dan penjaga mereka di situ.

Malah lawatan yang pertama kali dilakukan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) itu juga memberikan semangat kepada doktor dan jururawat di hospital berkenaan.

Pada lawatan itu, seramai 50 pesakit kanak-kanak menerima sumbangan hamper berbentuk barangan makanan.

Zaitun berkata, program amal tersebut merupakan salah satu usaha bagi memberikan sokongan kepada pesakit dan ibu bapa mereka.

“Lawatan ini bagi memastikan kesedihan mereka tidak dilupakan orang yang sihat.

“Mereka memberikan reaksi gembira dan kita buat kejutan dengan hadir memberikan sumbangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut di hospital berkenaan.

Program anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu mendapat kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Labuan (PL).

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun; Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman dan isteri Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datin Sarina Shuib.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Hospital Labuan, Dr. Adnan Musa Balidran.

Penyerahan sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program sama yang dilakukan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur melibatkan 100 pesakit baru-baru ini dan 50 pesakit kanak-kanak lagi di Hospital Putrajaya pada 17 Februari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas