Berita

Tali pinggang Menteri Wilayah Persekutuan jadi taruhan

KHALID (dua dari kiri) bersama Pengarah MSWP, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri (dua dari kanan) pada majlis perasmian kejohanan baru-baru ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 9:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kelab Muay Thai Kuda Merah dengan kerjasama Majlis Sukan Wilayah Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)-DBKL di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) dan Tahun Melawat Malaysia itu bakal mempertaruhkan 12 tali pinggang termasuk Tali Pinggang Menteri Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Teknikal Kejohanan, Rosli Yaacob berkata, seramai 24 orang peninju tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand serta Filipina bakal berentap memburu kejuaraan.

“Tiga peninju Wilayah Persekutuan, Azim PMKL, Aniq Shazwan Black Tiger dan Hairi Hallo Lab yang membawa misi pingat emas di Sukma Johor tahun ini turut mengibarkan cabaran mereka pada kejohanan ini,” ujarnya.

Menurut Rosli, dalam kejohanan itu juga, atlet-atlet terbabit turut berdepan saingan hebat daripada peninju-peninju Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain Tali Pinggang Menteri Wilayah Persekutuan, Tali Pinggang Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Tali Pinggang Sinar Harian turut dipertandingkan.

Dijangka Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan Timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh hadir menyaksikan perlawanan dan sekali gus merasmikan kejohanan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas