Berita

43 pesakit kluster Bali positif Covid-19, tiga mati

HOSPITAL Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
- Diterbit 25 April 2020 9:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 43 kes disahkan positif Covid-19 dalam kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali di Kuantan, Pahang termasuk tiga meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster PUI Bali itu dikesan di pusat kesihatan di Kuantan membabitkan golongan pesakit dan anggota kesihatan.

Katanya, kluster berpunca dari kes ke – 4,684 yang mempunyai sejarah ke Bali, Indonesia dan mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,575 iaitu abangnya yang
sudah dimasukkan ke wad Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di pusat perubatan itu.

“30 pesakit dari kluster itu sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang, sembilan sudah sembuh, seorang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga meninggal dunia.

“10 yang positif dalam kluster itu adalah anggota kesihatan pusat perubatan itu,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berikutan itu sebanyak 2,301 ujian saringan Covid-19 dijalankan membabitkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan berkenaan.

Katanya, langkah kawalan penularan jangkitan pandemik itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia termasuk proses nyah cemar dan pemindahan pesakit ke hospital KKM berdekatan.

“Ini untuk memastikan pusat perubatan berkenaan selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas