Berita

Pengurusi Bernama Ras Adiba terima anugerah pencapaian sepanjang hayat WOEA

RAS Adiba Radzi menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Pemerkasaan Wanita) di Anugerah Wanita Cemerlang 2021/2022  (WOEA 2021/22) di sini malam ini. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 25 Mac 2022 2:48 AM MYT

PENGURUSI Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Pemerkasaan Wanita) di Anugerah Wanita Cemerlang 2021/2022  (WOEA 2021/22) di sini malam ini.

Selain daripada Ras Adiba lebih daripada 70 usahawan dan personaliti wanita dari seluruh negara  menerima anugerah pada WOEA 2021/22 anjuran  FM Media Communications dengan kerjasama majalah The CEO Malaysia di sini.

Tetamu terdiri daripada wakil-wakil syarikat dan individu daripada pelbagai industri dan selebriti hadir untuk meraikan acara itu dan perniagaan serta individu yang menerima anugerah itu dinilai berdasarkan tiga kriteria utama — prestasi tahunan syarikat, kepimpinan dan pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid yang merasmikan majlis dan menyampaikan anugerah itu berkata sumbangan wanita boleh mengubah sebuah komuniti biarpun berhadapan halangan di semua peringkat.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia dengan tema  kesamaan jantina hari ini untuk esok yang lestari,” katanya pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel malam ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan FM Media Communication Ema Malina Abu Bakar Tajudin dalam ucapan aluannya berkata bersempena Hari Wanita yang disambut pada Mac setiap tahun, Majalah The CEO Malaysia membuat keputusan untuk menganjurkan majlis anugerah itu.

“Menerusi program berprestij ini, kami boleh memanfaatkan kepakaran kami untuk menjana dan meningkatkan penjenamaan dan potensi perniagaan mereka. Tambahan pula kami mahu menyediakan sebuah platform untuk membawa bersama usahawan wanita berjaya,” kata beliau.

Sementara itu, Ras Adiba berkata anugerah ini merupakan satu penghargaan kepada keazaman wanita dan usaha yang dilakukan dalam kerjaya mereka.

“Malam ini amat istimewa, saya rasa begitu kerdil di sebelah mereka di mana mereka melakukan dengan begitu baik dalam bidang mereka dan sambutan ini  adalah bagi menghargai wanita. Saya terharu kerana usaha saya dihargai pihak mereka.

Wanita di luar sana seharusnya jangan putus asa tetapi mereka harus percaya pada diri sendiri kerana dengan usaha sendiri kita dapat mencapai matlamat yang dikehendaki,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah dan berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan kepada kerjaya beliau selama ini. — BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas